Solskjaer sukar terima keputusan seri
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui kecewa dengan persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas diikat Fulham 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, pada awal pagi Rabu.
Menurutnya, keputusan seri itu sesuatu yang sukar diterimanya apatah lagi dia mahu setiap pemain berada pada tahap keyakinan dan momentum terbaik terutama untuk menghadapi final Liga Europa pada Khamis depan.
"Sudah tentu kami mahu menang, bukan kerana untuk mencari kedudukan kedua atau ketiga liga sebaliknya kami mahu membina momentum dan keyakinan. Kami telah kehilangan banyak mata minggu lalu.
"Saya harap ia tidak menggangu keyakinan kami dan saya harap pemain bangkit dalam perlawanan akan datang. Mereka (pemain) banyak membuat keputusan di atas padang yang membuatkan saya kecewa," katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi United, Edinson Cavani membuka tirai jaringan menerusi gol jarak jauh menarik pada minit ke-15 sebelum disamakan Koe Bryan untuk Fulham pada minit ke-76.
Mengulas lanjut, Solskjaer turut akan melakukan rombakan dalam pasukan untuk aksi menentang Wolves pada Ahad ini bagi memberikan peluang kepada pemain utama berehat menjelang perlawanan akhir Liga Europa menentang Villareal di Stadion Energa Gdańsk, Poland Khamis depan.
"Saya akan melakukan perubahan dan kami perlu bijak untuk menjaga pemain daripada kecederaan dan keletihan. Kami perlu ke Poland dengan tahap kecergasan yang baik dan keyakinan yang tinggi.
"Kami akan berlatih dan bersedia dengan baik, kami akan tengok apa yang boleh dilakukan untuk perlawanan menentang Wolves pada Ahad ini. Saya tidak mahu merisikokan pemain dan dalam masa sama saya tetap mahukan keputusan yang positif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!