Pasar malam mesra waktu solat dibuka
MARANG - Pasar Malam Binjai Rendah di sini bakal dirasmikan dan beroperasi Sabtu ini akan menjadi tarikan baharu serta menjadi tumpuan pengunjung dari dalam serta luar daerah ini.
ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong yang dijangka merasmikannya menyifatkan pasar malam itu istimewa kerana ia turut disertai peniaga-peniaga 'food truck' selain mesra waktu solat.
"Perniagaan food truck adalah satu kaedah terkini perniagaan di Terengganu, dan akan turut serta menjalankan perniagaan di pasar tersebut yang beroperasi setiap Sabtu bermula selepas Asar.
"Operasi perniagaan kemudian akan dihentikan sementara dalam tempoh 10 hingga 15 minit untuk memudahkan peniaga dan pengunjung mengerjakan solat Maghrib," katanya, hari ini.
Beliau berkata, melalui cara tersebut, kerajaan negeri dapat mendidik rakyat supaya menjaga kesejahteraan hubungan dengan ALLAH di samping mencari keuntungan kebendaan melalui perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!