Graduan politeknik berdaya saing

Mohamad Amin (kiri) menyaksikan pertukaran sijil kolaborasi bersama Nadicorp Holdings antara Mohd Nadzmi (dua kanan) dengan Pengarah PSAS Ts Dr Naimah Md Khalil.
Mohamad Amin (kiri) menyaksikan pertukaran sijil kolaborasi bersama Nadicorp Holdings antara Mohd Nadzmi (dua kanan) dengan Pengarah PSAS Ts Dr Naimah Md Khalil.
A
A
A

BEHRANG - Lebih 97 peratus graduan politeknik seluruh negara berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian pada tahun lalu dalam pelbagai bidang.

Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Ts Mohamad Amin Hamat berkata pencapaian kebolehpasaran graduan politeknik tersebut menunjukkan graduan yang dilahirkan berkualiti dan berdaya saing.

"Kita berbangga pada 2018 pencapaian kebolehpasaran graduan bagi politeknik secara keseluruhan melebihi 97 peratus mereka yang mendapat pekerjaan.

"Ia merangkumi pelbagai bidang kerana program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di politeknik melebihi 60 program keseluruhan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Industri Politeknik 7.0 (ExKIP7.0), di Dewan Mualim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini, semalam.

Menurut Mohamad Amin kejayaan berkenaan didorong oleh kerjasama dan hubungan baik antara politeknik serta industri dalam pelbagai sektor yang dipergiatkan antara kedua-dua belah pihak.

"Tagline 'Siapalah Kita Tanpa Industri' memainkan peranan penting dalam menjalinkan hubungan dan kerjasama antara politeknik serta pemain industri serta menjadi kewajipan bukan lagi sebagai kerja sampingan," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama yang dijalankan oleh PSAS melalui menandatangani sijil kolaborasi bersama 11 industri sempena program berkenaan, Mohamad Amin berkata, ia merupakan gerak langkah dalam memperkasakan hubungan antara politeknik dan pemain industri lain.

"Kita sedia maklum pelaksanaan program kolaborasi antara PSAS dan industri lain bertujuan mewujudkan kerjama situasi menang-menang di samping memberi peluang kepada pelajar mendapat kerja dengan lebih mudah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Nadicorp Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, sebagai salah sebuah syarikat yng menjalinkan kerjasama melalui sijil kolaborasi bersama dengan PSAS merupakan langkah awal dalam memperkasa politeknik.

"Sudah tentu kolaborasi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak dalam menjalankan beberapa perkara yang belum pernah dijalankan memandangkan politeknik mempunyai tenaga pengajar dalam bidang tertentu.

"Saya lihat dengan adanya perhubungan dengan pihak politeknik banyak kita dapat laksanakan dalam masa panjang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!