Tidak lagi berteduh dalam kolong
SELAYANG - Seorang warga emas yang tinggal di dalam 'kolong' di Taman Selayang Jaya sejak enam bulan lalu kini dipindahkan ke rumah baharu oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Kisah Loh Ah Cheng yang tidak mampu menyewa sewa rumah kerana tiada daya untuk bekerja selepas kemalangan dikongsikan menerusi Facebook aktivitis masyarakat itu pada Selasa.
Menurut perkongsian tersebut, Ebit memperuntukkan RM700 sebulan untuk menyewa rumah selain turut menyediakan keperluan lain.
"Saya akan bayar sewa RM700 sebulan. Ada dua bilik. Selesa. Dibelikan katil dan tilam serta barang dapur semua.
"Saya ada tugaskan untuk kebersihan dan makanan uncle juga," menurut perkongsian itu.
Dalam perkongsian sama, warga emas itu juga telah dibawa ke pusat beli-belah berhampiran untuk dibelikan pakaian selain barangan keperluan.
Ah Cheng yang menghadapi masalah kaki turut dibelikan tongkat bagi memudahkannya berjalan.
Tidak tamat di situ, warga emas itu dibawa ke kedai gunting rambut dan tukang gunting berkenaan memberikan perkhidmatan tersebut percuma selepas menolak bayaran diberikan.
Keprihatinan Ebit nyata mengundang sebak warga emas itu yang tidak menyangka menerima bantuan tersebut selain menyifatkan Tuhan mendengar doanya.
Ebit berkata, beliau bersyukur diberikan rezeki untuk berbuat baik kepada warga emas itu.
"Saya cuma nak Tuhan sayang saya. Saya doa ALLAH SWT bagi ayah saya di kampung keajaiban untuk sihat," menurut perkongsian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!