Dua jiran gaduh kerana parkir kereta

Kejadian pertengkaran dua jiran di Subang Permai, Subang Jaya pada Sabtu lalu hingga tular di media sosial disebabkan tidak berpuas hati isu parkir kereta di laluan perumahan itu.
Kejadian pertengkaran dua jiran di Subang Permai, Subang Jaya pada Sabtu lalu hingga tular di media sosial disebabkan tidak berpuas hati isu parkir kereta di laluan perumahan itu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Perselisihan faham dua jiran di Subang Permai, di sini pada Sabtu lalu hingga tular di media sosial berpunca mengenai isu parkir kenderaan yang menyebabkan kesesakan di laluan perumahan terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu melibatkan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan berusia 34 dan warga Bangladesh berusia 43.

Menurutnya, kedua-dua pihak telah bertengkar, saling memarahi dan memaki hamun dengan perkataan yang kurang sopan serta nada tinggi namun tiada kata ugutan atau hingga menyebabkan kecederaan berlaku.

"Punca perselisihan faham adalah mengenai isu tempat letak kereta sehingga menyebabkan kesesakan di jalan dalam perumahan tersebut.

"Semasa insiden itu, kedua-dua pihak juga telah merakam video kejadian dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, salah satu pihak telah memuat naik video pertengkaran yang berdurasi selama dua minit 29 saat ke dalam media sosial Facebook melalui laman 'Aduan Rakyat Malaysia'. Video tersebut telah dikongsi beberapa kali sehingga menyebabkannya tular sebelum dipadam dari media sosial.

Katanya, polis juga telah menerima laporan daripada dua individu terbabit dan mereka telah dipanggil untuk melengkapkan siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Abd Khalid, pihaknya memandang serius kejadian sedemikian dan meminta orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan selain tidak melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

"Sekiranya terkesan sesuatu yang dirasakan tidak betul, sila laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Pihak polis juga ingin memberi nasihat kepada warga netizen supaya tidak menyebarkan sebarang video atau memberi komen yang boleh menyentuh atau mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

"Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya didapati bersalah, hukuman denda adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!