Marahkan isteri, lelaki beri anak minum racun rumput

Yusoff Zaki
Yusoff Zaki
A
A
A

BEAUFORT - Berang kerana isteri mahu pulang ke kampung, seorang suami tergamak memberikan anak mereka minum kopi dicampur racun rumput dalam kejadian di sebuah kampung di Kuala Penyu, di sini, pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terbabit dikatakan turut dicekik oleh suspek yang berusia 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suami dan isteri.

"Dalam kejadian itu, isteri suspek menyatakan mahu pulang ke kampungnya di Keningau bersama anak-anak namun dibantah suaminya.

"Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minum kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput dan perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia lapan tahun," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Yusoff Zaki berkata, tidak cukup dengan itu, suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.

"Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.

"Bagaimanapun, polis sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!