Selangor tolak PKP penuh jika diberi pilihan

Mariah (tiga dari kiri) bersama Dzulkefly (kanan) sewaktu sidang media di Bangunan Annex, Ahah Alam pada Rabu.
Mariah (tiga dari kiri) bersama Dzulkefly (kanan) sewaktu sidang media di Bangunan Annex, Ahah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh sekiranya diberikan pilihan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, namun begitu, sekiranya penguatkuasaan itu terlalu mendesak, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja.

Beliau berkata, mekanisme dan strategi bagi pelaksanaan PKP perlu ditambah baik bagi memastikan ia mencapai objektif dikehendaki.

"Sekarang (apa yang penting) kita kena 'defensive' (bertahan) dan Selangor perlu tingkatkan vaksinasi bagi mengekang penyebaran dalam kalangan komuniti," katanya ketika sidang akhbar yang berlangsung di Bangunan Annex di sini, pada Rabu.

Hadir sama adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam sidang akhbar bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin pada Isnin mengumumkan Kementerian Kesihatan bakal melaksanakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor setelah melihat kes jangkitan Covid-19 di negeri itu masih lagi tinggi.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, jangkitan Covid-19 di Selangor gagal dikawal berikutan isu polisi yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan sehingga menyebabkan penularan dalam kalangan komuniti.

"STFC sebelum ini pernah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun perkara itu ditolak dan tidak diterima pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Isu polisi itu turut menyebabkan kontak yang didapati positif wabak Covid-19 gagal dikepung dan dikesan sehingga menyebabkan mereka bebas dalam kalangan komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kerajaan Selangor menolak cadangan pelaksanaan PKP secara menyeluruh memandangkan negeri ini masih berada pada tahap terbaik dalam pengurusan wabak berkenaan.

"Selangor masih merekodkan kadar kebolehjangkitan rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang dan disebabkan itulah tiada keperluan PKP menyeluruh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!