Wanita edar dadah diberkas
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Taman Danau Kota di sini pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, wanita yang sedang memandu kereta jenis Toyota Yaris itu ditahan pada jam 5.37 petang oleh sepasukan polis dari JSJN Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Johor.
"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan dan di sebuah kondominium di Taman Ibu Kota Setapak, polis merampas dadah yang disyaki methamphetamine seberat 10.10 kilogram (kg) dan heroin (0.15 kg) bernilai RM396,566.
"Keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 11,116 penagih dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Adnan berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Volkswagen, cincin emas (5), rantai tangan emas (2), seutas rantai leher dan wang tunai bernilai RM5,478.
Katanya, siasatan awal mendapati kediaman tersebut telah disewa selama empat bulan oleh suspek dengan bayaran sewa sebanyak RM1,500 sebulan.
"Suspek yang didapati positif dadah itu juga dikesan memiliki rekod jenayah lampau.
"Kita percaya dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan dan aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang," katanya.
Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!