Kerajaan perlu segera perkenal peraturan kawal selia vape
KUALA LUMPUR - Persatuan industri vape tempatan menggesa kerajaan mempercepatkan usaha memperkenalkan undang-undang untuk mengawal selia vape di negara ini.
Mereka berpendapat undang-undang akan dapat memastikan jumlah pengguna yang semakin meningkat di Malaysia terlindung dengan menggunakan produk vape yang mematuhi standard keselamatan dan kualiti.
Pada masa yang sama membolehkan industri berkembang untuk membantu menjana aktiviti ekonomi dalam situasi pasca pandemik Covid-19.
Berdasarkan data yang diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019) Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat lebih sejuta pengguna vape dalam di Malaysia dan angka tersebut dijangka meningkat seiring peningkatan trend global.
Satu laporan bertajuk 'E-Cigarette Market: Global Industry Trends, Share, Size, Growth, Opportunity and Forecast 2021-2026' baru-baru ini menganggarkan pasaran e-rokok dunia telah mencecah sehingga USD17 billion pada 2020.
Timbalan Setiausaha Agung Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Syamil Hanafiah berkata, secara global, perokok mula memilih alternatif yang kurang mudarat seperti vape untuk berhenti merokok, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap produk ini di serata dunia.
“Di Malaysia, permintaan untuk produk vape adalah tinggi bagi memenuhi permintaan daripada 1.12 juta pengguna vape. Kami menjangkakan akan ada lebih banyak pengguna di Malaysia memandangkan semakin ramai perokok memilih vape untuk membantu mereka berhenti merokok,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syamil Hanafiah berkata, sehingga kini industri ini masih tiada peraturan dan pada ketika ini lebih sejuta pengguna di Malaysia menggunakan produk yang tidak terkawal.
"Dengan adanya peraturan, ini akan dapat memastikan pengguna menggunakan produk yang terkawal dari segi standard keselamatan dan kualiti,” katanya.
Menambah kepada isu ini, Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy, Rizani Zakaria berpendapat, Malaysia akan mendapat manfaat dari segi ekonomi terutamanya pada masa ini di mana keadaan pasca pandemik Covid-19 memerlukan penjanaan aktiviti ekonomi.
Katanya, industri ini telah melahirkan ramai usahawan terutamanya usahawan bumiputera yang telah membina industri ini sejak sedekad yang lalu, menjadikan ia sebuah sektor yang mempunyai ekosistem berdaya saing yang bernilai RM2.27 bilion.
"Kami percaya lebih banyak usahawan tempatan akan menceburi sektor ini termasuk menarik pelaburan domestik dan luar negara, sekiranya peraturan diperkenalkan di Malaysia dan ini akan mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ini.
“Kita juga tahu bahawa rakyat negara ini amat terbuka dengan idea meregulasikan industri vape. Melalui tinjau selidik Malaysian Insights & Perspectives on Vape yang kami jalankan baru-baru ini, 80 peratus rakyat Malaysia mahu kerajaan mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di Malaysia,” katanya lagi.
Apabila ditanya, kedua-dua pertubuhan itu berpendapat bahawa duti eksais yang dilaksanakan ke atas produk vape perlu diperluaskan mencakupi e-cecair bernikotin dengan peraturan diperkenalkan untuk membolehkan nikotin digunakan di dalam e-cecair vape.
Buat masa sekarang, kata Syamil, kutipan cukai oleh kerajaan dari industri vape adalah sangat sedikit kerana duti eksais hanya dilaksanakan ke atas e-cecair tanpa nikotin.
"Berdasarkan anggaran MEVTA hanya 3 peratus produk e-cecair yang tidak mengandungi nikotin berada dalam paasaran tempatan.
“Oleh itu, duti eksais ini harus diperluaskan mencakupi e-cecair bernikotin dan undang-undang kawal selia harus dilaksanakan cecepat mungkin termasuk undang-undang yang membenarkan nikotin digunakan di dalam e-cecair seperti mana yang dilakukan di negara-negara yang lebih maju,” kata Syamil pula.
Rizani poula berkata, dengan cara ini, kerajaan dapat memaksimum kutipan hasil daripada cukai dan dalam masa yang sama dapat memastikan pengguna menggunakan produk yang dikawal selia di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!