Majikan perlu keluar SD pekerja jika mohon tuntutan

A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meminta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperketatkan atau mengambil langkah tambahan dengan mengarahkan majikan mengeluarkan akuan bersumpah (SD) mengenai jumlah pekerja mereka yang sah sekiranya ingin memohon tuntutan insentif kewangan menerusi Program PenjanaKerjaya pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan orang ketiga tidak diberi ruang untuk mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

“Setakat ini, peruntukan sedia ada adalah tandatangan yang disahkan daripada pekerja.

“Dengan adanya syarat tambahan di mana majikan perlu mengeluarkan SD menyatakan bahawa ini adalah jumlah pekerja mereka, maka mereka akan diambil tindakan yang lebih tegas mengikut undang undang sekiranya memalsukan SD.

“Ini adalah usaha KSM supaya kita dapat memastikan tiada pihak ketiga menyalahgunakan peluang sedia ada untuk orang ramai,” katanya pada sidang media secara maya pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, KSM dan Perkeso memandang serius dakwaan penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh majikan bagi memohon insentif kewangan menerusi Program PenjanaKerjaya daripada kerajaan.

“Ini susulan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berhubung perkara ini pada Selasa.

“Minggu lepas, pihak Perkeso juga telah mengesan satu video mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjayaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Walau bagaimanapun, ini merupakan satu taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

“Pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso dengan 36 orang pekerja menandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

“Kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu, akan dirujuk kepada agensi penguatkuasa,” katanya.

Tegasnya, mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau turut mengarahkan Perkeso untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan.

Saravanan berkata, KSM menerusi Perkeso akan terus melaksanakan amanah yang diberikan kerajaan selain memberi jaminan bahawa data peribadi yang diterima Perkeso tidak pernah diberikan atau dikongsi kepada pihak ketiga.

“Saya menyeru semua pencari kerja tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp ataupun media sosial.

“Majikan pula dinasihatkan untuk membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya di penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus dan tidak melalui mana-mana ejen,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!