Sistem penjagaan kesihatan Gaza di ambang kehancuran

Harta benda yang musnah selepas sebuah bangunan di daerah Rimah di Bandar Gaza dibedil rejim Zionis. - Foto: AFP
Harta benda yang musnah selepas sebuah bangunan di daerah Rimah di Bandar Gaza dibedil rejim Zionis. - Foto: AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tatkala Palestin masih bergelut dengan wabak Covid-19, serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu, menambahkan lagi kesengsaraan dan sistem penjagaan kesihatan kini di ambang kehancuran.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Medhat Abbas ketika dihubungi Bernama pada Selasa berkata, hospital di Gaza kini sesak dan mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan akibat kepungan dan sekatan Israel yang dikenakan sejak 15 tahun lalu.

Beliau memberi amaran andai jumlah mangsa cedera semakin bertambah, semua 2,200 katil hospital yang ada di Gaza tidak berupaya lagi menampung jumlah pesakit.

"Sebilangan besar pesakit dirawat di bilik kecemasan dan kemudian balik ke rumah tetapi dengan peningkatan jumlah pesakit setiap hari, sukar untuk saya bayangkan.

"Kami sudah ada 2,000 pesakit sejak lapan hari serangan dengan sekurang-kurangnya 40 peratus terpaksa dimasukkan ke wad," katanya sambil menambah beberapa katil tambahan terpaksa diletakkan di koridor hospital.

Menurut bekas ketua pengarah Hospital Al Shifa itu hospital mungkin kehabisan elektrik berikutan tindakan Israel memotong bekalan dan menyekat penghantaran bahan bakar ke Gaza.

"Biasanya kami menerima 140 megawatt tetapi sekarang hanya dapat 20 megawatt kerana Israel telah menyerang dan memusnahkan sebagian besar infrastruktur di Semenanjung Gaza. Sekarang kami tidak mempunyai elektrik dan bahan bakar untuk kegunaan generator di hospital, ”katanya.

Selain mangsa yang cedera akibat serangan Israel, Dr Medhat berkata, pesakit dengan pelbagai jenis penyakit lain turut sukar untuk mendapatkan akses rawatan di Semenanjung Gaza, satu daripada daerah berpenduduk paling padat di dunia dengan dua juta penduduk.

Artikel Berkaitan:

Katanya, amat memilukan apabila seorang pesakit kanser yang sepatutnya menjalani rawatan radioterapi di luar Semenanjung Gaza meninggal dunia apabila tidak dapat ke hospital akibat sekatan.

"Malah ada pesakit buah pinggang yang telah menjalani prosedur pemindahan ginjal tidak dapat melakukan rawatan susulan kerana rawatan yang diperlukan tidak terdapat (di Gaza).

"Terima kasih kepada Mesir kerana telah membuka hospital lapangan dan pada Isnin mereka telah menerima tiga pesakit kami. Tetapi bagaimana pula dengan yang lain?," katanya.

Dr Medhat berkata kemudahan kesihatan di Gaza musnah akibat serangan Israel, termasuk Beit Hanoun Hospital dan Indonesian Hospital serta pusat kesihatan, Hala Al Shwa dan Al Daraj.

"Pada Isnin, mereka telah menyerang sebuah daerah dekat dengan ibu pejabat Kementerian Kesihatan yang menempatkan klinik Al Rimal antara klinik terbesar. Enam rakan saya turut cedera,” katanya.

Serangan udara rejim Israel juga memusnahkan satu-satunya makmal di Gaza yang memproses keputusan ujian Covid-19 dan pusat kuarantin.

Setakat ini, Palestin melaporkan 304,074 kes Covid-19 dan 3,437 kematian.

Dr Medhat berkata dua rakannya, Dr Ayman Abu al-Ouf dan Dr Mooein Ahmad al-Aloul, turut terkorban ketika rejim itu menyerang kawasan yang dikepung.

Dr Mooein, 66, pakar neurologi, terbunuh di rumahnya ketika Israel membedil peluru berpandu di daerah al-Wehda di Gaza pada pagi Ahad, manakala Dr Ayman, ketua perubatan hospital di Al-Shifa maut bersama isteri dan anak perempuannya.

"Dr Ayman banyak membantu mengajar doktor untuk menjadi pakar. Beliau antara tokoh terkemuka di Palestin, mengetuai rawatan Covid-19 di Gaza. Anak perempuannya dijadual melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

"Pertahanan awam tidak mempunyai cukup peralatan akibat kepungan itu, menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan," katanya.

Ujarnya jalan menuju ke hospital utama di Gaza musnah menyebabkan ambulans terpaksa mengambil masa lebih lama untuk membawa mangsa cedera ke hospital.

Sejak sembilan hari lalu, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meragut lebih 213 nyawa rakyat Palestin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!