Veteran ATM perlu sertai persatuan
KUALA LUMPUR - Semua veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalakkan menyertai persatuan-persatuan veteran untuk memudahkan mereka mendapat bantuan kebajikan yang layak diterima atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata pihaknya juga memerlukan maklumat mengenai veteran-veteran yang terlantar sakit bagi menyalurkan bantuan yang sepatutnya.
“Kami sentiasa prihatin tentang perkara ini. Apabila memperoleh maklumat mengenai veteran yang terlantar sakit, kami akan pergi dan melihat mereka (bagi menyampaikan bantuan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel bertajuk ‘Jabatan Veteran ATM: Membela Nasib Pesara’.
Beliau berkata majoriti veteran tentera daripada sejumlah 304,254 veteran di seluruh negara telah berdaftar dengan persatuan veteran ATM.
“Bagaimanapun, masih terdapat kes yang mana maklumat mengenai pesara tentera yang sakit tidak sampai ke pejabat JHEV,” katanya.
Dzulkarnain berkata sesetengah veteran tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai bantuan-bantuan yang boleh diterima daripada kerajaan dalam usaha meningkatkan kebajikan mereka sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.
Mengulas mengenai persidangan Mesyuarat Veteran Kebangsaan (MVK) yang dijangka dipengerusikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 28 Februari ini, beliau berkata pihaknya akan mengemukakan satu kertas cadangan bagi menambah usaha berhubung kemudahan perumahan.
“Kertas cadangan itu akan dikemukakan bagi mencadangkan bagaimana kita hendak meningkatkan usaha-usaha untuk memberi kemudahan perumahan kepada veteran sama ada dalam bentuk pemilikan atau pembaikan rumah dan sewa beli rumah,” katanya.
Beliau berkata JHEV turut akan mengemukakan usul berkaitan pencen pesara tentera pada MVK yang akan bersidang kali kedua selepas kali pertama diadakan pada Disember lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!