Menara berhayun bukan kerana gempa bumi
BEIJING - Pasukan jurutera pada Rabu melakukan pemeriksaan ke atas bangunan pencakar langit di selatan China sehari selepas insiden ia bergoyang secara tiba-tiba.
SEG Plaza setinggi 300 meter di bandar Shenzhen berhampiran Hong Kong itu dikatakan mula berhayun menjelang waktu tengah hari pada Selasa hingga mencetuskan panik kepada orang ramai yang bertindak melarikan diri.
Pegawai pengurusan bencana dalam satu kenyataan menolak gegaran gempa bumi sebagai punca kejadian menggemparkan di daerah hab teknologi Futian tersebut.
"Tiada pergerakan susulan dikesan dan pakar juga tidak menemui sebarang masalah berkaitan keselamatan pada struktur utama dan bangunan terbabit," ujarnya.
Difahamkan, bangunan itu mula berhenti berhayun ketika usaha pemindahan orang ramai giat dilakukan.
Rakaman insiden yang mencetuskan kebimbangan terhadap standard pembinaan itu turut mendapat lebih 780 juta tontonan dan ratusan ribu komen di media sosial.
SEG Plaza itu selesai dibina pada tahun 2000 dan menjadi pusat utama pasaran barangan elektronik dan pelbagai pejabat di pusat perniagaan Shenzhen.
Pada tahun lalu, pihak berkuasa melarang pembinaan bangunan pencakar langit melebihi ketinggian 500 meter selepas sekatan sama dilaksanakan di beberapa bandar seperti Beijing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!