Sindiket beri pinjaman wang tanpa lesen tumpas

Kenderaan dan barangan yang dirampas JSJK Selangor dalam Ops Vulture di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Kenderaan dan barangan yang dirampas JSJK Selangor dalam Ops Vulture di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan tujuh lelaki kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen selepas menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sungai Ramal di sini pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Ops Vulture pada jam 11.05 pagi oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor turut bertindak merampas lima buah kereta.

Menurut beliau, pelbagai barang juga telah dirampas seperti 15 telefon bimbit, simkad (6), kad ATM (1), komputer riba (1), buku cek (1) dan wang tunai RM50,000.

"Kesemua suspek warga tempatan telah direman sehingga Jumaat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 atas kesalahan pemberian pinjaman wang tanpa lesen yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen yang menyebabkan mangsa menerima ugutan jenayah atau ancaman keselamatan ekoran daripada kegagalan pembayaran hutang.

Jelas Arjunaidi, sekiranya ingin membuat pinjaman, orang ramai seharusnya menyemak terlebih dahulu status syarikat yang menawarkan pinjaman tersebut melalui aplikasi 'i-KrediKom' yang dibina secara in-house oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di telefon pintar melalui Google Play Store atau App Store.

"Aplikasi ini berfungsi sebagai medium untuk membolehkan orang ramai mendapatkan informasi yang berkaitan dengan kredit komuniti serta membuat carian sama ada syarikat pinjaman terbabit berlesen atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga menyarankan agar mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!