Ramai terjejas pendapatan jika ada usaha boikot Coca-Cola
SHAH ALAM - Sumber pendapatan ribuan pekerja, peruncit, pengedar dan pembekal di seluruh rantaian bekalan jenama minuman Coca-Cola di Malaysia bakal terjejas jika ada usaha memboikot produk itu.
Coca-Cola Malaysia berkata, walaupun Coca-Cola adalah jenama global, namun semua operasi pembotolan menggunakan sumber tempatan.
"Coca-Cola diproses dan dibotolkan di Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan dilakukan oleh rakyat Malaysia.
"Untuk makluman Coca-Cola juga telah beroperasi lebih daripada 85 tahun di negara ini dan telah menjadi keutamaan kami untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Coca-Cola menerima maklumat bahawa beberapa individu telah memboikot produk tersebut berikutan maklumat dan khabar angin yang tular di media sosial dan salah fahaman tentang komitmennya di Timur Tengah.
Mengulas lanjut katanya, syarikat Coca-Cola beroperasi di lebih dari 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dengan sistem politik, agama dan sejarah yang berbeza.
"Coca-Cola beroperasi di 14 pasaran di Timur Tengah dan enam lagi di kawasan Afrika Utara.
"Coca-Cola dan syarikat pembotolan NBC tempatan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pasaran Palestin yang bermula sejak dari 1998.
"Kini, Coca-Cola merupakan antara pengusaha terbesar di rantau tersebut," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kenyataan itu menjelaskan, Coca-Cola Malaysia prihatin terhadap pergolakan yang berlaku di antara Israel dan Gaza dan kesannya terhadap penduduk di rantau Timur Tengah.
"Matlamat kami adalah untuk memberi kesegaran kepada semua lapisan masyarakat melalui produk minuman yang dikeluarkan.
"Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama, mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa," kata kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!