'Berhenti kecam keluarga saya'

Petikan video memaparkan bapa Mohd Shuhazlan menaiki ambulans.
Petikan video memaparkan bapa Mohd Shuhazlan menaiki ambulans.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki berharap netizen berhenti mengecamnya yang dikatakan tidak sensitif apabila bersalam dan memeluk ayahnya yang positif Covid-19.

Tindakan Mohd Shuhazlan Ali, 45, itu mula tular di media sosial sejak malam Selasa menerusi video berdurasi 1.29 minit.

Video berkenaan memaparkan Mohd Shuhazlan dan ahli keluarganya dilihat 'menghantar' bapanya yang positif Covid-19 menaiki ambulans yang datang ke rumahnya di Port Dickson.

Menurutnya, dia beranggapan tidak ada masalah untuk menyentuh bapanya kerana dirinya turut positif Covid-19.

"Kami sekeluarga di rumah seramai enam orang iaitu ayah dan emak, saya, adik ipar dan anak saudara berusia 11 tahun disahkan positif Covid-19.

"Tapi disebabkan ayah saya berusia lebih 60 tahun dan ada penyakit darah tinggi serta kencing manis dia telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di Seremban untuk pemantauan rapi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ujarnya, sejak hari raya pertama mereka sekeluarga telah kuarintin kendiri di rumah dan mengikut arahan hospital.

Mohd Shuhazlan turut kecewa apabila ada yang mengatakan dia sekeluarga seperti mahu menghantar bapanya pergi makan angin.

Artikel Berkaitan:

Petikan video memaparkan Mohd Shuhazlan memeluk bapanya yang positif Covid-19.
Petikan video memaparkan Mohd Shuhazlan memeluk bapanya yang positif Covid-19.

"Siapa tak sedih bila ahli keluarga lebih-lebih lagi bapa sendiri diangkut dengan ambulans di rumah kerana Covid-19.

"Tapi kami tak nak menghantar ayah dalam keadaan sedih kerana tak mahu dia risau keadaan kami di rumah yang juga positif Covid-19," katanya.

Sebaliknya, Mohd Shuhazlan berharap masyarakat sepatutnya memberi sokongan moral dan mendoakan dia sekeluarga kerana penyakit Covid-19 bukan perkara main-main.

Malah paling dikesalkannya apabila ada netizen yang turut mereka cerita mengatakan ayah dan anak saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU).

"Sampai begitu sekali kami dikecam dan ada yang kata kami ini keluarga bengong dan bodoh.

"Mula-mula saya memang tak ambil kisah, tapi saya tengok makin melampau sedangkan mereka tak tahu cerita sebenar," katanya.

Ditanya berkenaan keadaan kesihatan bapanya, Mohd Shuhazlan berkata, bapanya berada dalam keadaan baik dan dijangka dapat keluar dari hospital Jumaat ini.

Sehubungan itu, dia berharap videonya itu tidak lagi dijadikan isu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!