Sepupu terkilan arwah tak sempat jamah laksa
KUALA NERUS - Sepupu kepada mangsa kemalangan di jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Pakoh Jaya di sini terkilan kerana arwah tidak sempat menjamah laksa yang diambil dari rumahnya di Manir, Kuala Terengganu.
Noorfizana Mohd Noor, 31, berkata, Allahyarham Ahmad Tarmizi Yusof, 40, sebelum ini menyatakan keinginan dan rasa rindu untuk menjamah laksa air tangan arwah ibunya.
"Dua hari lepas saya ada muat naik gambar laksa kuah putih mak saya buat di status WhatsApp, arwah ada komen cakap dia teringin sangat nak makan laksa yang mak saya buat sebab rasa serupa dengan arwah mak dia buat.
"Saya pun ajak dia datang ke rumah untuk ambil laksa. Dia sampai di rumah saya dari tempat kerja di Pulau Kambing jam 6 petang. Kami sempat berbual sekejap sebelum dia bergegas untuk bergerak pulang ke rumah ibu mentuanya di Kg Tayor, Sungai Tong, Setiu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun, Noorfizana berkata, tidak sampai sejam selepas itu dia diberitahu sepupunya itu terlibat kemalangan sekitar jam 7 malam.
"Saya terkejut. Rasa terkilan sangat sebab arwah tak sempat jamah laksa tu. Sehari sebelum kemalangan dia ada beritahu teringin sangat nak makan laksa kuah putih.
"Waktu ambil laksa itu dia cerita, kawan tempat dia kerja ada berikan laksa kelmarin, tetapi laksa kuah merah. Dia dah makan, namun dia teringin sangat nak makan laksa kuah putih mak saya buat," katanya.
Noorfizana berkata, jenazah sepupunya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Kg Bukit Tok Beng, Kuala Nerus selepas Asar pada Rabu.
Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.
Mangsa yang merupakan seorang buruh meninggal dunia selepas kereta dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori pada Selasa.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!