Polis kenal pasti dalang penipuan pekerjaan di Kemboja
KUCHING - Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sudah mengenalpasti beberapa warga tempatan yang terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan yang mengakibatkan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja pada 11 Disember lepas.
Ketuanya, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata ia adalah hasil siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis setelah lapan daripada mangsa penipuan itu tampil untuk membuat laporan polis.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka diperdayakan, kononnya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan di antara AS$1,200 dan AS$1,500, bagaimanapun sebelum itu mereka perlu membayar yuran pemprosesan antara AS$200 dan AS$300 ke akaun bank salah seorang rakyat tempatan.
“Kemudian mangsa secara berasingan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja di antara bulan Okt dan November 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar, dimana makan minum turut disediakan, malah turut diarah untuk menyerahkan telefon bimbit serta paspot mereka kepada individu yang menjaga dan mengawal mereka,” tambahnya.
Mustafa berkata berdasarkan keterangan mangsa, mereka juga diarahkan untuk menghafal skrip serta berlakon sebagai pegawai bank, pegawai mahkamah dan lain-lain bagi untuk tujuan menipu.
“Penipuan ini sama seperti modus operandi yang digunakan oleh sindiket Macau Scam dengan membuat dan menjawab panggilan telefon. Selain itu, mereka juga diarah mempromosikan judi di atas talian melalui panggilan telefon dan SMS kepada nombor-nombor yang disediakan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!