Lelaki ditahan samun, cederakan warga emas

No Image Caption
A
A
A

TELUK INTAN - Polis menahan seorang lelaki kerana mencederakan dan menyamun wanita warga emas berusia 73 tahun di Taman Bunga Raya, Jalan Sultan Abdullah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditangkap di sebuah hotel hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek bertindak memecah masuk rumah mangsa menerusi bumbung.

"Mangsa yang tersedar dari tidur terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak memukul sebanyak tiga kali serta mengikat mulutnya.

"Suspek kemudiannya menyelongkar bilik mangsa dan telah mengambil barang kemas dan sampul mengandungi wang yang disimpan dalam laci sebelum melarikan diri menerusi bumbung yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Ahmad Adnan berkata, mangsa yang juga pesara jururawat mengalami lebam di bahagian dahi kiri akibat dipukul suspek.

"Mangsa kehilangan seutas rantai emas, gelang dan sepasang anting-anting serta wang tunai RM5,000.

"Turut hilang sebuah telefon bimbit jenama Samsung. Nilai keseluruhan kerugian adalah RM8,500," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua barangan itu berjaya ditemui semula kira-kira lima jam kemudian apabila suspek ditahan pada jam 2.30 pagi pada Rabu.

"Semakan mendapati suspek yang juga orang tempatan mempunyai 17 rekod lampau dalam jenayah.

"Suspek direman selama lima hari bermula Rabu untuk disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!