SKM tidak pernah lantik pihak ketiga
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat sebagai 'pihak ketiga' dalam sebarang urusan berkaitan penubuhan koperasi.
SKM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, orang ramai boleh berurusan terus dengan pegawai di SKM cawangan negeri dan wilayah berhampiran bagi urusan penubuhan koperasi.
"Perkara ini perlu ditegaskan kerana terdapat koperasi yang dalam proses penubuhan memaklumkan mereka telah membuat bayaran kepada ejen semasa proses penubuhan koperasi," menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, SKM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Orang ramai perlu mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut daripada pihak SKM terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan.
"Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada SKM melalui talian 03-20834000 atau aplikasi Whatsapp Hotline SKM 019-2445339 atau emel webmaster@skm.gov.my untuk penjelasan lanjut," kata SKM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!