Pasar pagi perlukan nafas baharu

Gambar hiasan - Foto sumber internet
Gambar hiasan - Foto sumber internet
A
A
A

SEMENYIH - Sejak beberapa tahun lepas, mukim Semenyih yang berada dalam daerah Hulu Langat menerima kesan limpahan pembangunan dari kawasan sekitarnya seperti Kajang, Putrajaya dan Cyberjaya.

Selain itu, Semenyih juga semakin popular dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti Bukit Broga, hutan rekreasi dan kolam air panas, yang menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negeri.

Kepesatan pembangunan dan tarikan pelancongan yang ada menyebabkan timbul rasa ‘iri hati’ dalam kalangan peniaga di Pasar Pagi Pekan Semenyih di sini yang berharap pasar itu dinaik taraf dan dipromosikan untuk dijadikan sebagai satu daripada daya tarikan kepada pengunjung luar.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Zeti, 36, berkata pasar tersebut boleh dijadikan sebagai antara tempat persinggahan para pendaki yang pulang dari Bukit Broga, kerana ia terletak berdekatan dengan jalan utama ke bukit tersebut dari Kuala Lumpur.

“Seperti yang kita tahu Bukit Broga memang sangat terkenal tetapi ramai pengunjung luar tidak tahu mengenai pasar ini. Saya sudah lebih setahun berniaga di sini tetapi tidak nampak pun orang luar datang, hanya muka yang sama sahaja ke sini. Mungkin usaha untuk mempromosikan pasar ini perlu dipertingkatkan lagi,” kata peniaga tudung itu ketika ditemui Bernama, di sini.

Katanya terdapat pelbagai pilihan makanan tempatan yang dijual di pasar tersebut yang boleh menjadi daya penarik pengunjung luar.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kedudukan kira-kira 100 gerai di pasar berkenaan disusun dengan lebih teratur mengikut jenis makanan dan barangan yang dijual bagi memudahkan para pengunjung.

Dalam pada itu Adibah Muslim, 27, menyarankan Majlis Perbandaran Kajang supaya menyelaraskan penguatkuasaan lesen perniagaan terhadap para peniaga kerana terdapat mereka yang berniaga di situ tanpa memiliki lesen.

Artikel Berkaitan:

Katanya hal ini berikutan pernah terjadi insiden pergaduhan antara peniaga ekoran berebut tapak berniaga.

“Jadi ini tidak adil kepada mereka yang telah membayar dan mempunyai lesen kerana peniaga yang tidak mempunyai lesen enggan berpindah ke tempat lain dan menganggap tapak tersebut milik mereka kerana telah lama berniaga di situ, walaupun tidak mempunyai lesen,” katanya yang berniaga makanan sunnah di situ sejak setahun lalu.

Sementara itu, peniaga kuih peneram Najmullah Mohammad Salehuddin, 23, berkata antara masalah yang sering dihadapi peniaga dan pengunjung di sini ialah kekurangan parkir terutama pada hujung minggu.

“Bila hujung minggu, saya lihat pengunjung susah mencari parkir. Ada yang terpaksa menunggu parkir yang kosong sehingga satu jam. Jadi saya minta pihak yang berkenaan melakukan sesuatu supaya para pengunjung akan lebih berasa selesa untuk datang ke sini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!