Dua lelaki ditahan lempar mercun ke arah polis di SJR

Barang kes yang dirampas polis bagi membantu siasatan.
Barang kes yang dirampas polis bagi membantu siasatan.
A
A
A

GOMBAK - Dua lelaki ditahan kerana membaling mercun ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Plaza Tol Gombak di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, remaja lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah bersama seorang rakannya berusia 20 tahun dilihat menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek dilihat berhenti di tepi jalan berhampiran SJR tersebut sebelum salah seorang daripadanya membakar mercun dan melemparkannya ke arah anggota polis.

"Pasukan polis bertindak mengejar dan berjaya menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR.

"Hasil pemeriksaan ke atas mereka telah menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan mendapati tindakan dua suspek itu secara tanpa niat dan sekadar suka-suka.

Susulan itu katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan ditahan reman selama tiga hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan keputusan ujian saringan air kencing ke atas mereka adalah negatif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!