Negaraku, tanah tumpah darahku

No Image Caption
A
A
A

SAYA terpanggil untuk menulis kolum minggu ini atas sebab dua artikel yang disiarkan dalam akhbar ini baru-baru ini. Satu artikel membandingkan hari raya dengan pilihan raya. Dari segi bahasa, dua-dua ‘raya’ ini mempunyai maksud berbeza.

Raya yang pertama membawa maksud ‘besar’, sama seperti jalan raya dan kaya-raya, manakala ‘raya’ yang kedua membawa maksud ‘umum’.

Maksud yang kedua ini digunakan juga untuk balai raya. Maknanya, pilihan raya sebenarnya adalah hari pilihan umum atau hari pemilihan oleh orang ramai. Sama seperti balai raya yang sebenarnya membawa maksud balai untuk umum atau untuk orang ramai.

Apa pun perbezaannya, saya faham maksud tulisan rakan saya itu bahawa sekiranya kerajaan pada hari ini mengadakan pilihan raya umum dan menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat untuk membuat pemilihan siapa wakil rakyat yang sepatutnya mewakili mereka, yang seterusnya akan menubuhkan kerajaan, maka mungkin itulah hadiah paling berharga kepada rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang pasti akan dirayakan oleh semua.

Artikel yang kedua pula menulis tentang bagaimana kita masih bergelut selepas 14 bulan menghadapi musibah yang melanda seluruh negara.

Penulis artikel itu agak lebih berhati-hati dalam mempersoalkan siapa sebenarnya yang sedang bergelut ataupun yang menjadi penyebab kepada kenapa rakyat perlu ‘reda’ dengan apa yang sedang berlaku dalam negara.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, penulis lebih banyak menimbulkan persoalan untuk dijawab oleh pembaca. Dua-dua artikel itu secara tidak langsung menimbulkan beberapa persoalan penting.

Yang pertama, adakah keresahan dalam kalangan rakyat tentang bagaimana negara sedang diuruskan di tengah-tengah amukan korona, menunjukkan mereka sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan yang ada?

Artikel Berkaitan:

Yang kedua, adakah sebab itu penulis artikel yang pertama cuba mengaitkan kegembiraan menyambut 1 Syawal dengan keperluan untuk negara ini mengadakan pilihan raya dan mengembalikan demokrasi dalam negara?

Persoalannya, apakah kepastian kita bahawa pilihan raya akan menyelesaikan apa juga masalah yang sedang kita hadapi. Apa sebenarnya masalah kita? Lain padang, lain belalang. Seperti peribahasa ini, sudah tentu lain orang lain jawapannya.

Golongan bangsawan dan orang berada sudah tentu marah kerana mereka berasa pergerakan mereka disekat. Ada yang marah kerana perniagaan mereka terbantut dan gagal untuk melipatgandakan keuntungan.

Kemarahan kumpulan ini mungkin agak terkawal kerana mereka masih mempunyai simpanan dan harta yang membolehkan mereka hidup senang tanpa melakukan apa-apa.

Berasa kebal

Ada antara mereka juga yang berasa kebal dan mampu untuk membayar berapa kali pun kalau dikenakan kompaun dan mampu terus melanggar peraturan. Peraturan sudah tidak dihormati oleh golongan berkenaan menyebabkan kemarahan rakyat terbanyak yang lain, yang berasakan bahawa seperti ada dua darjat dalam melaksanakan undang-undang dalam negara.

Golongan pertengahan mungkin lebih marah kerana simpanan mereka mungkin tidak sebanyak golongan bangsawan dan hartawan, maka sekiranya PKP berterusan, mereka yang berniaga akan kehabisan wang simpanan. Mereka yang makan gaji di pejabat swasta lebih risau daripada mereka yang bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana tuan punya syarikat swasta tersebut berkemungkinan menutup perniagaan untuk menjaga kepentingan harta mereka.

Mungkin pihak Jabatan Statistik boleh mengeluarkan hasil bancian mereka, berapa ramai daripada rakyat golongan pertengahan atau M40 yang sekarang telah jatuh kepada kategori B40.Kemarahan rakyat marhaen rasanya tidak perlu diungkapkan di sini lagi kerana kita boleh membaca di media-media sosial. Lihat sahaja komen pada bebenang sosial media milik pemimpin-pemimpin negara. Kecuali bagi mereka yang membutakan mata dan memekakkan telinga mereka.

Persoalannya, adakah rasa tidak puas hati itu hanya terhad kepada bagaimana peraturan dan arahan yang bertukar-tukar dalam menangani Covid-19? Atau adakah kemarahan itu sudah melangkaui hal-hal lain daripada pengurusan Covid-19?

Penulis berharap pihak kerajaan memberi perhatian kepada denyut nadi rakyat di akar umbi dan bertindak segera bagi memperbetulkan apa juga kesilapan.

Kalau kita boleh bersimpati dengan apa yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang, kita juga sepatutnya harus lebih bersimpati dan bertanggungjawab dengan rakyat di negara ini yang mengharapkan Malaysia lebih baik.

Kita sedar akan kepayahan untuk menguruskan sebuah negara dengan rakyat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Ditambah dengan musibah yang dibawa oleh Covid-19. Semoga negaraku ini akan terus dipelihara Tuhan dan pemimpin-pemimpinnya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Kalau kita boleh bersimpati dengan apa yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang, kita juga sepatutnya harus lebih bersimpati dan bertanggungjawab dengan rakyat di negara ini yang mengharapkan Malaysia lebih baik.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!