Doakan kejayaan kami

Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya akan terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis bagi menggalas misi penting mengharungi baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Berbekalkan persiapan yang sedikit pincang tanpa aksi di peringkat antarabangsa sejak tahun lalu selain bakal mengharungi suasana baharu pertandingan dalam konsep gelembung sukan ekoran Covid-19, pasukan negara dijangka berdepan tugas mencari kemenangan menentang tiga gergasi Asia UAE, Vietnam dan Thailand.

Bagi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak ada yang mustahil dengan elemen paling penting ditagihnya sudah tentu sokongan serta doa dapat diberikan seluruh peminat bola sepak negara agar misi sukar yang dibawa skuad kebangsaan untuk layak ke peringkat seterusnya dapat direalisasikan.

"Kami mempunyai misi dan impian besar untuk cuba melakukan sesuatu dalam baki perlawanan ini nanti. Kami perlu fikir positif dan semua pemain juga berada dalam moral terbaik walaupun memang ada kebimbangan mengenai pandemik yang masih berlaku ketika ini.

"Namun, ia bukan penghalang dan kami kena bekerjasama sebagai satu pasukan untuk capai misi ini. Sudah tentu perkara paling penting adalah kami mengharapkan sokongan daripada semua peminat supaya kita boleh lalui kempen kelayakan ini dengan cemerlang," katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Skuad Harimau Malaya selesai menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei dan akan terbang ke Dubai hari ini untuk perlawanan persahabatan pertama bertemu Kuwait pada 23 Mei.

Kemudian, skuad negara akan terbang ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua (Tier 1) bertemu Bahrain di sana pada 28 Mei sebelum menyelesaikan tiga baki perlawanan kelayakan menentang UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengakui berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemain selepas tiga hari latihan skuad negara selain menegaskan moral para pemain berada pada tahap terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebagai jurulatih berpuas hati dengan komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan semua pemain dalam kem latihan. Kami berharap dapat melakukan kem latihan yang baik di Dubai dan Bahrain juga.

"Kami juga akan menerima beberapa pemain yang berada di luar negara di Dubai nanti (Liridon Krasniqi, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Junior Eldstal). Memang perjalanan latihan kita tidak boleh buat latihan penuh tanpa keempat-empat mereka.

"Tetapi, apabila kita sampai di Dubai nanti saya harap mereka akan berada pada tahap fizikal yang baik untuk latihan penuh bersama skuad kebangsaan. Dalam masa yang sama, kami nak para pemain tersebut dapat membina keserasian dengan pemain lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!