Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian bekas ADUN Pahang

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Hayani yang meninggal dunia semalam. - Foto Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Hayani yang meninggal dunia semalam. - Foto Istana Negara
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, Datuk Mohd Hayani Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman media sosial rasminya pada Khamis, menyatakan Seri Paduka Baginda berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat ALLAH dan ditempatkan bersama para solihin selain mengharapkan seluruh keluarga untuk bersabar serta tabah menghadapi pemergian tersebut.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarham sebagai wakil rakyat dan ADUN Pahang kepada masyarakat dan negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Ahmadul Mokhtar, 41, berkata, bapanya yang berusia 79 tahun meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 5.55 petang semalam, akibat jangkitan kuman di paru-paru.

"Ayah dimasukkan ke IJN pada 7 Mei lalu selepas mengadu sesak nafas. Sebelum itu, arwah pernah menerima rawatan di institut perubatan sama pada minggu ketiga Ramadan, namun dibenarkan pulang pada 3 Mei lepas," katanya semasa dihubungi Bernama.

Ahmadul Mokhtar berkata, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Gombak, Selangor pada pagi Khamis.

Allahyarham yang merupakan bekas pendidik sebelum menyertai politik sekitar tahun 1980-an meninggalkan isteri Rojemah Ahmad, 73, lima anak berusia antara 41 dan 52 tahun serta enam cucu.

Allahyarham bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai sebelum menang di DUN Bera dan DUN Kemayan, pada dua PRU seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah menjadi setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Allahyarham mula memperlahankan aktiviti politik pada awal tahun 2008 namun masih kekal sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Bera. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!