Brazil ikrar hantar bantuan kemanusiaan ke Venezuela
BRASILIA - BRAZIL. Kerajaan Brazil di bawah pimpinan Presiden Jair Bolsonaro bertegas untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke sempadannya dengan Venezuela menjelang hujung minggu ini walau ditentang Presiden Nicolas Maduro.
Jurucakap Presiden Bolsonaro, Jeneral Otávio Régo Barros berkata, dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS), bekalan makanan dan ubat-ubatan akan berada di bandar sempadan Pacaraima dan diserahkan kepada 'kerajaan' pemimpin pembangkang Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden.
Guaido memaklumkan hampir 600,000 sukarelawan telah mendaftar bagi membantu mengagihkan bantuan kemanusiaan berkenaan pada 23 Februari ini.
Dalam pada itu, Maduro yang menafikan berlakunya krisis di Venezuela menolak sebarang bentuk bantuan antarabangsa terutama dari AS yang dituduh mahu menggulingkan kerajaannya.
Sehubungan usaha menyekat kemasukan bantuan, Venezuela bertindak menutup sempadan udara dan perairan di Curacao di mana bantuan kemanusiaan itu akan ditempatkan.
Langkah penutupan tersebut disahkan Komander Tentera Venezuela, Vladimir Quintero namun tiada butiran lanjut diberikan.
Terdahulu, pasukan tentera Venezuela yang masih setia kepada Presiden Maduro berjaya menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan AS daripada menyeberang sempadannya dengan Colombia.- BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!