MyAqsa Defenders berjaya kumpul dana RM17.8 juta untuk Palestin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan yang membentuk MyAqsa Defenders berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM17.8 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Sekretariat MyAqsa Defenders berkata, dana RM17,878,518.37 itu akan disalurkan untuk beberapa projek secara berperingkat (fasa satu) iaitu membabitkan klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis dan Bantuan Kecemasan Gaza (Gaza Emergency Relief).

"MyAqsa Defenders sangat komited dengan agenda urus tadbir baik, ketelusan, dan akauntabiliti dalam melaksanakan program dan projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.

"Gabungan ini juga mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran MyAqsa Defenders antaranya, mewujudkan beberapa lapisan pentadbiran bagi menghindari sebarang konflik berkepentingan seperti lapisan pengasas bersama gabungan, majlis tertinggi gabungan, jawatankuasa pemantauan, penilaian, kesesuaian dan pembelajaran (MEAL) dan sekretariat gabungan.

"Selain itu, MyAqsa Defenders juga mewujudkan jawatankuasa MEAL sebagai entiti semak dan imbang yang dianggotai oleh tiga perwakilan daripada ahli MyAqsa Defenders, satu perwakilan daripada ahli majlis tertinggi MyAqsa Defenders dan satu perwakilan dari Sekretariat MyAqsa Defenders serta mewujudkan garis panduan kerangka urus tadbir baik, ketelusan dan akauntabiliti yang menjadi dokumen panduan pentadbiran, pengurusan dan kewangan gabungan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, MyAqsa Defenders juga mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang akan menjadi kayu ukur impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin.

Katanya, menerusi kerangka urus tadbir itu juga, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pihak berkecuali yang terdiri daripada peguam, pegawai tadbir bertauliah, akauntan bertauliah, konsultan sektor pembangunan dan kemanusiaan serta perunding anti-pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan (AML/CFT) bagi memantau dan menasihati pihak pengurusan dan pentadbiran dalam urusan MyAqsa Defenders.

"Beberapa dokumen penting berkenaan MyAqsa Defenders seperti panduan tadbir urus MyAqsa Defenders, soalan lazim MyAqsa Defenders, laporan perkembangan projek dan laporan kewangan boleh diakses umum, terutama para penyumbang di platform yang sedang kami bangunkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menampung kos operasi MyAqsa Defenders dalam menjayakan agenda besar ini, kami akan melancarkan produk eksklusif MyAqsa Defenders pada hari Jumaat ini," jelasnya.

Serangan Israel terhadap bumi Palestin kini sudah memasuki hari ke sembilan sejak ia dilancarkan pada 7 Mei lalu dengan lebih 213 nyawa terkorban termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita.

Antara NGO yang terbabit dalam MyAqsa Defenders adalah Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Iman Care, One Nation, Al Azhar Care, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Serantau Muslim serta Cinta Syria Malaysia (CSM).

Badan itu turut disertai 23 selebriti dan ikon kemanusiaan antaranya Heliza Helmi, MizzNina dan Noh Salleh, Faizal Tahir, PU Rahmat, Fedtri Yahya serta Natasha Hudson.

MyAqsa Defenders turut menggerakkan Kempen #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak dan mengaktifkan pelbagai bentuk kesedaran dan advokasi di seluruh negara bahkan dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: MyAqsaDefenders sasar RM10 juta bantu rakyat Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!