Djokovic di puncak kemasyhuran

No Image Caption
A
A
A

JAGUH tenis Serbia, Novak Djokovic merangkul anugerah Olahragawan Tahunan Laureus 2019 buat kali keempat dalam kariernya.

Kejayaan Djokovic itu sekali gus menyaksikan dia mengetepikan cabaran pemain bola sepak Paris Saint Germain dan Perancis, Kylian Mbappe dan juga bintang NBA, LeBron James.

Djokovic dianggap berhak meraih anugerah itu selepas dia bangkit daripada masalah kecederaan tahun lalu sehingga berjaya menjulang trofi Terbuka Australia bulan lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu turut cemerlang apabila menggondol dua gelaran Grand Slam - Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Wimbledon tahun lalu.

Dalam ucapannya pada majlis anugerah itu di Houston awal pagi semalam, Djokovic mendedahkan dia hampir membuat keputusan untuk bersara ekoran masalah kecederaan yang dialami.

“Tahun lalu adalah musim mengagumkan buat saya, kembali daripada kecederaan untuk menjuarai Kejohanan Wimbledon dan juga Terbuka AS adalah sesuatu yang akan saya ingati buat selama-lamanya.

"Sebelum itu, saya pernah terfikir untuk meninggalkan sukan ini. Ketika itu, saya tidak dapat mencari kekuatan dalam diri saya sendiri,” kata Djokovic yang dilihat mengalirkan air mata kesedihan.

Djokovic menerima 68 undian daripada anggota Akademi Laureus yang terdiri daripada legenda sukan seperti juara tenis Grand Slam sembilan kali, Monica Seles dan juga pemenang enam pingat emas lumba basikal trek Sukan Olimpik, Chris Hoy.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan ini adalah satu simbol perjalanan karier saya. Mengimbau kembali apabila saya berdiri di sini sekarang, ia kelihatan seperti kisah dongeng tetapi ia memberikan saya satu perkara.

“Pada saat di mana anda berdepan cabaran dan halangan, anda perlu melihat ke dalam diri sendiri. Saya tak memahami sepenuhnya sebelum ini tetapi kini saya tahu di mana saya boleh mencari kekuatan dan keyakinan untuk meneruskannya,” katanya.

Sementara itu, ratu gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles pula merangkul gelaran Olahragawati Tahunan Laureus buat kali kedua selepas kejayaan cemerlang gimnas berusia 21 tahun itu pada Kejohanan Dunia tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!