Nicol ibarat sebutir bintang....
KETUA Menteri Chow Kon Yeow mengibaratkan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David sebagai sebutir bintang yang sukar dicari ganti dan mengharapkan ikon sukan negara itu akan terus mencurahkan sumbangannya dalam bidang skuasy.
Ketika menzahirkan harapannya itu, beliau berkata Nicol merupakan insan yang telah banyak berjasa kepada dunia sukan squasy sekaligus telah menaikkan imej negara Malaysia di persada dunia.
"Nicol David adalah ikon sukan negara yang telah berjasa kepada sukan squash dan juga menaikkan imej negara Malaysia dipersada dunia kerana menjadi johan untuk satu tempoh yang amat panjang dan seorang yang sukar diganti kerana pencapaiannya sejak satu usia muda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Penyelenggaraan Lorong Sisi antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Bank of China (Malaysia) Berhad di sini malam semalam.
Nicol, 35, anak kelahiran Pulau Pinang, hari ini mengumumkan keputusan untuk bersara daripada sukan itu pada Jun ini.
Chow berkata Nicol merupakan seorang atlet yang memiliki kegigihan dan komitmen tinggi sehingga boleh mencapai prestasi yang membanggakan .
Katanya keputusan yang dibuat oleh ratu skuasy negara itu perlu dihormati dan dan pada masa yang sama beliau berharap Nicol akan terus menyumbang khidmat dan sumbangannya dalam bidang tersebut (skuasy).
"Saya menghormati keputusan Nicol, sebab memang dalam mana-mana sukan had umur adalah satu kenyataan yang kita perlu terima dan kita menghormati keputusannya sebab Nicol sendiri yang tahu masa yang paling sesuai untuk membuat keputusan bersara.
"Nicol boleh memainkan peranan yang berlainan seperti menjadi jurulatih atau pun pengurus dalam membantu mencungkil bakat baharu di seluruh negara," katanya.
Atlet itu menduduki ranking nombor satu dunia selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily pada 2015 dan menjadi pemain wanita Asia pertama berada dalam ranking nombor satu Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) pada 2006.
Sepanjang kerjayanya, Nicol telah menggondol tiga pingat emas Sukan Dunia, lima emas Sukan Asia, dua pingat emas Sukan Komanwel dan dua gelaran Terbuka Britain. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!