Pendapatan peniaga pasar malam terjejas akibat mesej palsu
IPOH - Peniaga pasar malam di daerah Kinta kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai penutupan pasar malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Pasar Malam Melayu Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, maklumat palsu yang tular di laman sosial sejak Rabu itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peniaga dan juga pengunjung.
"Mesej palsu itu telah menyebabkan pasar malam Rapat Setia lengang dan sepi. Kira-kira 20 peratus pengunjung yang hadir sepanjang beroperasi bermula 4 petang hingga 8 malam.
"Peniaga pula mengalami kerugian apabila mereka mengeluarkan banyak modal untuk beli barang tetapi hasil jualan tidak memberangsangkan," katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Manjoi di sini pada Khamis.
Jaafar berkata, hampir 800 peniaga di daerah ini bergantung sepenuhnya kepada jualan di pasar malam sebagai sumber utama pendapatan mereka.
"Apabila pendapatan kami terjejas, siapa yang mahu bertangggungjawab? Mesej sebegini boleh memberi kesan tambahan dengan keadaan semasa Covid-19 hinggakan ada yang dibuang kerja.
"Tujuan laporan ini dibuat supaya tindakan dapat diambil kerana mesej sebegini menjejaskan pendapatan peniaga dan menimbulkan ketakutan kepada pengunjung," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa memastikan operasi sembilan pasar malam di bawah kendaliannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita minta mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada peniaga kecil.
"Kami ada keluarga, ada tanggungjawab. Dalam keadaan sekarang, ramai yang terjejas jadi jangan sukarkan lagi kehidupan kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!