Mayat tanpa identiti ditemui terapung di laut
KUALA KEDAH - Mayat tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terapung oleh nelayan tempatan di kedudukan 6.5 batu nautika barat Pulau Telor, Yan di sini pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat hampir reput ditemui terapung kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, ketika ditemui mayat itu didapati berpakaian lengkap, namun sukar dialihkan tanpa sebarang peralatan yang sesuai.
"Susulan itu, nelayan terbabit menghubungi talian kecemasan memaklumkan mengenai penemuan mayat yang sedang mereput tersebut.
"Sejurus menerima maklumat berhubung penemuan mayat dari Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Noor Azreyanti berkata, mayat itu kemudiannya dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Dawai untuk proses sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Balai Polis Yan di talian 04-4655222.
Orang awam dan komuniti maritim juga boleh melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!