Pusat bandar Alor Setar lengang
ALOR SETAR - Kawasan pusat bandar Alor Setar di sini agak lenggang berbanding kebiasaan susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar bermula Rabu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya premis perniagaan terlibat dengan perkhidmatan penting sahaja beroperasi seperti biasa mengikut waktu operasi ditetapkan kerajaan manakala premis bukan penting ditutup.
Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaaan di kawasan pusat bandar seperti di hadapan Masjid Zahir dan Kompleks Pekan Rabu juga berkurangan memandangkan ramai memilih untuk kekal di rumah bagi mematuhi arahan ditetapkan.
Hanya beberapa kenderaan kelihatan di jalan raya di sekitar pusat bandar dalam tempoh lima hingga 10 minit jika dibandingkan dengan keadaan yang sibuk sebelum perlaksanaan PKPD.
Pada hari kedua PKPD itu, Kompleks Aman Sentral yang menjadi tumpuan penduduk setempat sebelum ini juga kelihatan agak sepi berikutan ada premis tertentu tidak dibuka dan pengunjungnya tidak ramai.
Seorang penduduk yang ditemui, Nordiani Abd Rahman, 36, berkata, setakat ini, sudah dua kali daerah Kota Setar dikenakan PKPD termasuklah selama dua minggu pada 11 hingga 25 September tahun lalu dengan terbaharu bermula pada Rabu.
Katanya, dia akur dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKPD di Kota Setar selama 14 hari dari 19 Mei hingga 1 Jun depan dan sedia mematuhi arahan dengan duduk di rumah.
Menurutnya, dia agak terkejut dengan kenaikan kes positif Covid-19 dan bimbang kerana jangkitan kali ini disifatkan terlalu mudah merebak sehingga membawa kepada perlaksanaan PKPD di Kota Setar.
"Perlaksanaan semula PKPD di daerah ini adalah tindakan yang terbaik yang perlu dilaksanakan ketika ini dalam usaha mengekang penularan virus Covid-19.
"Begitupun kami tidak membuat pembelian panik memandangkan keperluan harian dibeli antara satu hingga dua kali seminggu dan kedai juga dibenarkan beroperasi dalam tempoh ini.
"Bagaimanapun, jikalau perlu keluar untuk membeli barang keperluan kami memang mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga keselamatan diri untuk tidak berada tempat tumpuan ramai pada masa sekarang," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh memberitahu sebanyak 41 pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar digerakkan sepanjang PKPD untuk memantau pergerakan dan aktiviti dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, dua sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan, iaitu Tol Alor Setar Utara untuk kemudahan akses ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), manakala Tol Alor Setar Selatan ditutup sepenuhnya di kedua-dua lorong masuk dan keluar selain lapan laluan tikus yang dikenal pasti turut ditutup sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!