Luluskan segera permohonan kerajaan negeri peroleh vaksin
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk meluluskan segera permohonan perolehan vaksin Covid-19 oleh kerajaan negeri termasuk menerima sumbangan vaksin yang ditawarkan oleh pihak luar.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebahagian sektor swasta juga bersedia untuk mengumpulkan dana bagi membeli vaksin di luar negara.
Menurutnya, setakat ini, usaha membeli vaksin tidak dibenarkan kerana perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan Pusat.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi perantara bagi memberikan vaksin percuma kepada pekerja barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.
“Mengapa perlu ada monopoli vaksin oleh satu syarikat apabila kadar vaksinasi ini boleh ditingkatkan?
"Adalah lebih masuk akal untuk membiarkan mereka yang mampu membayar, membeli vaksin dengan kos mereka sendiri kerana ini akan menjadikan lebih banyak vaksin tersedia untuk diberikan secara percuma kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Pulau Pinang terbuka untuk membeli vaksin dan menerima sumbangan daripada mana-mana pihak yang berminat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!