“Alhamdullilah, saya masih hidup, malangnya belum selamat"
KUALA LUMPUR - “Alhamdullilah, saya masih hidup, malangnya masih belum selamat...Saya masih bernyawa.”
"Saya menaip mesej kepada anda tatkala bunyi dentuman bom menyakitkan telinga dan menggegarkan rumah saya. Ia amat menakutkan," tulis Afaf Najjar, 18, menerusi Whatsapp kepada Bernama pada Rabu.
Afaf seorang aktivis Palestin merangkap sukarelawan media sosial Al-Baraem Society berkata, pencerobohan haram dan kekejaman terhadap rakyat dan negaranya bukanlah benda baharu buat dirinya dan keluarganya.
Ketika ini, dia dan keluarganya tinggal di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza dan sedar selepas ini keadaan akan menjadi lebih buruk.
"Pengeboman, serangan udara semuanya... bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin. Mereka bertindak sesuka hati kerana tidak mahu rakyat Palestin jalani kehidupan normal,” katanya yang sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan dan tetap melindungi ahli keluarganya walau dalam apa jua keadaan.
Menurut Afaf, aktiviti kemasyarakatan yang dilakukannya turut terjejas.
“Sebagai aktivis, saya merasa bertanggungjawab untuk menyalurkan berita dan maklumat mengenai keadaan sebenar yang berlaku
"Pekerjaan saya bergantung penuh kepada sambungan Internet, kini di Gaza menghadapi kekurangan elektrik dan banyak kemudahan telekomunikasi rosak. Sekarang, kami hanya diberikan bekalan elektrik selama tiga jam setiap hari dan ada masanya kurang,” katanya.
Namun segala cabaran itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus berbakti.
Beliau berharap masyarakat antarabangsa dapat membantu dengan berkongsi mengenai keadaan di negaranya melalui pelbagai platform media sosial dan sangat penting untuk menggunakan terminologi dan tanda pagar (#) yang betul.
“Israel berusaha sedaya-upaya mendiamkan rakyat Palestin. Orang ramai mesti terus menyebarluaskan maklumat dengan menggunakan istilah yang betul dalam memberikan gambaran sebenar situasi di Semenanjung Gaza.
"Sebagai contoh, kami tidak menyebut konflik sebaliknya perjuangan Palestin. Kami tidak katakan perang tetapi pencerobohan haram. Bukan pengusiran tetapi pengusiran secara paksa dan pembersihan etnik. Penting gunakan istilah yang tepat agar kita dapat membuat Israel bertanggungjawab atas apa yang dilakukan kepada rakyat Palestin,” katanya.
Ujar Afaf mereka yang mempunyai kemahiran menguasai lebih satu bahasa boleh membantu menterjemahkan berita dan status yang dimuat naik di media sosial ke dalam pelbagai bahasa untuk menjangkau lebih ramai orang di serata dunia
"Bagi mereka yang berbakat seperti melukis dan menyanyi boleh memanfaatkan bakat mereka untuk membantu meningkatkan kesedaran dan memberi lebih banyak tekanan kepada pemerintah dan pihak berkaitan agar pencerobohan haram dan serangan Israel dihentikan.
"Sekarang keadaan lebih sukar lagi apabila ada usaha untuk menyekat dan menapis semua kandungan mengenai Palestin di platform media social. Justeru, melalui status dan netizen di seluruh dunia, pada dasarnya dapat memberitahu mereka bahawa kita tidak bertolak ansur dengan pencerobohan haram mereka,” katanya.
Kemusnahan dan kehancuran yang berlaku di Semenanjung Gaza hari ini, memaksa Afaf untuk meminta agar sumbangan terus dihulurkan kepada rakyat Palestin.
"Orang ramai perlu memastikan sumbangan disalurkan melalui pertubuhan yang sah untuk memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Sejak 10 Mei, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sudah meragut 227 nyawa termasuk 64 kanak-kanak, dan mencederakan 1,620 yang lain manakala ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata pihak berkuasa Palestin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!