21 ahli sindiket Love Scam, lelongan tidak wujud diberkas

Mohd Zaid (kanan) sedang menyoal salah seorang lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di sini pada Khamis.
Mohd Zaid (kanan) sedang menyoal salah seorang lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di sini pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Polis menumpaskan sindiket penipuan 'Love Scam' dan lelongan tidak wujud selepas menahan 21 lelaki dalam serbuan di sebuah rumah banglo di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 32 tahun itu ditahan pada jam 2.45 petang.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit dan komputer riba bagi membantu siasatan.

"Sindiket berkenaan menyasarkan warga China sebagai mangsa.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah mereka giat mencari mangsa dengan menggunakan aplikasi WeChat sebelum memperdayakan mangsa untuk menyertai lelongan tidak wujud yang menawarkan barangan seperti jed.

"Sindiket kemudian akan menghilangkan diri selepas mangsa membayar deposit," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif menjalankan aktiviti penipuan sejak lebih sebulan lalu dengan anggaran keuntungan RM18,000 hingga RM20,000 sehari.

"Sindiket berkenaan menawarkan pekerjaan sebagai 'telemarketing' dengan gaji sebanyak RM3,000 melalui Facebook," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!