Prof Datuk Wan Ramli diumum Tokoh Akademik Bahasa Melayu
KUALA LUMPUR - Profesor kejuruteraan kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor UKM-Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut Sel Fuel (Selfuel), Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud diumum sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2020.
Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Khamis, Profesor Ir Dr Wan Ramli telah mencipta pelbagai pencapaian gemilang di dalam negara dan antarabangsa termasuk pengiktirafan sebagai satu peratus saintis tersohor dunia dalam The World’s Most Influential Scientific Minds dan Highly Cited Researcher sebanyak enam kali iaitu dua kali oleh Thomson Reuters pada 2015 dan 2016 dan empat kali oleh Clarivate Analytics iaitu pada 2017, 2018, 2019 dan 2020.
“Selain itu, beliau juga turut menerima anugerah lain yang berprestij bagi saintis Malaysia iaitu Anugerah Merdeka (2016) untuk prestasi kesarjanaan yang amat cemerlang dalam penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen di dunia,” katanya.
Profesor Ir Dr Wan Ramli turut menjuarai bidang tenaga berpancaran sifar seperti tenaga hidrogen, teknologi sel fuel dan teknologi pengeringan lestari; dan etnoteknologi Melayu di persada global melalui penyelidikan dan pembangunan menggunakan bahasa Melayu.
Bagi menggalakkan keterlibatan ahli akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu, tiga kategori diperkenalkan pada 2020 iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan.
Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Idris Shah Dr Mazura Mansor menjadi penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal manakala Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Mohamad Asri Mat Husin adalah penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan.
Bagaimanapun, tiada pemenang bagi kategori Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, menurut KPT.
Menurut kenyataan itu, KPT mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap agar penganugerahan ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai pemangkin kepada kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
ATABM merupakan satu daripada usaha untuk mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang telah memperlihatkan kesungguhan dampak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penghasilan karya-karya ilmiah yang berkualiti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!