Menteri besar, ketua menteri tidak sertai mesyuarat MKN esok
SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat tidak akan disertai menteri besar atau ketua menteri seperti kebiasaan.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di laman Twitter pada Khamis.
Amirudin berkata, beliau telah mengesahkan kehadiran pada Rabu seperti yang diminta sebelum ini, namun pihaknya kemudiannya dimaklumkan mesyuarat berkenaan tidak akan melibatkan kehadiran menteri besar dan ketua menteri seperti sebelum ini.
"Saya telah mengesahkan kehadiran semalam seperti yang diminta, namun petang ini saya dimaklumkan mesyuarat MKN esok (Jumaat) tidak akan melibatkan menteri besar dan ketua menteri seperti sebelum ini," ciapnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan bincang cadangan laksana PKP penuh esok
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ di seluruh negara pada Mesyuarat MKN Covid-19 di Putrajaya pada Jumaat.
Katanya, mesyuarat tersebut dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua-ketua menteri dan menteri besar.
Amirudin menerusi sidang akhbar pada Rabu juga berkata, kerajaan Selangor bersedia untuk melaksanakan PKP penuh, namun pelaksanaan itu harus dilihat secara holistik dengan mengambil kira beberapa aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!