Guru meninggal dunia selepas PdPR

Allahyarhamah Nurul Naim meninggal dunia pada awal pagi Rabu.
Allahyarhamah Nurul Naim meninggal dunia pada awal pagi Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka menzahirkan rasa sedih dan takziah atas pemergian seorang pendidik di negeri ini, Nurul Naim Omar.

Nurul Naim yang mengajar mata pelajaran matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist 2 dipercayai meninggal dunia pada awal pagi Rabu.

Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, Allahyarhamah dipercayai kurang sihat sehari sebelum itu, namun masih tetap melaksanakan proses Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk murid-muridnya.

"Bagaimanapun saya dimaklumkan arwah diserang sesak nafas selepas PdPR dan disahkan meninggal dunia.

"Semoga keluarga Cikgu Nurul Naim tabah berdepan dengan dugaan kehilangan ini dan apa yang dilalui menggambarkan arwah seorang pendidik yang tinggi nilai dedikasinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengguris hati keluarga arwah.

"Semoga jasa bakti Cikgu Nurul Naim kepada pendidikan murid-murid dapat menjadi contoh kepada warga pendidik di seluruh negeri ini," katanya.

Sebelum ini, berita kematian guru wanita itu tular di aplikasi WhatsApp apabila didakwa mengalami sesak nafas ketika menjalankan sesi PdPR.

Artikel Berkaitan:

Mesej tular itu mendakwa ujian calitan guru berkenaan positif Covid-19, selain kes itu turut dikaitkan dengan satu varian baharu di negeri ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, tiada sebarang pengesahan diterima pihaknya berhubung kematian guru yang dikaitkan dengan Covid-19 itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!