Gerakan pejuang Palestin melalui media sosial bawa persepsi benar
SHAH ALAM - Gerakan memperjuangkan Palestin melalui media sosial amat penting dalam membawa mesej dan persepsi yang benar kepada masyarakat antarabangsa.
Personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya berkata, sekecil mana pun informasi disampaikan melalui platform media sosial, ia tetap memberi kesan yang amat besar kepada negara.
Beliau berkata, dahulu media Barat sering menggunakan istilah militan terhadap pejuang Hamas bagi menerapkan persepsi imej negatif rakyat Palestin kepada masyarakat seluruh dunia.
“Sebab itu ketika gelombang media sosial telah menjadi rutin dalam kehidupan harian kita, kita dapat melihat ada kesedaran, ramai aktivis dan pihak-pihak yang memperbetulkan persepsi demikian.
“Sebab itulah saya kagum melihat anak-anak muda, contohnya anak muda Malaysia yang berada di luar negara, yang ada kemampuan untuk menggunakan bahasa asing seperti bahasa Arab, Korea, Jepun dan sebagainya cuba untuk menterjemah supaya ia dapat diperbetulkan.
“Mereka ini menjadi duta kecil dalam memperbetulkan persepsi terhadap Palestin sebab orang luar hanya membaca perspektif daripada Barat sahaja,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian siri ke-258 bertajuk ‘Israel Negara Aparteid?’ yang disiarkan secara langsung menerusi dalam talian pada Khamis.
Wacana turut menampilkan Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Md Basir dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, Ahmad Fedtri turut menasihati masyarakat agar sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bertukar strategi dalam usaha memperjuangkan Palestin melalui medium media sosial.
Menurutnya, Israel sentiasa mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai maklumat untuk menyebarkan pemahaman yang salah mengenai rakyat Palestin.
“Jadi, kita harus menubuhkan satu unit yang berjuang di laman sosial ini supaya terlatih. Sebagai contoh, kelompok ilmuan ini, mereka mewujudkan laman sosial yang menyediakan lembaran fakta ‘fact sheet’ dan disebarkan secara meluas.
“Kalau orang Israel ‘serang’, kita membalas dengan hujah-hujah sedemikian supaya kita tidak menjadi pengecut yang hanya hebat dengan bahasa retorik tetapi tiada tindakan dan fakta untuk berjuang. Itu wawasan yang saya merasakan amat penting.
“Ilmuwan berkumpul mendapatkan fakta dan apa jua maklumat seperti gambar, video dan sebagainya. Jadi sekarang ini untuk mendapatkan fakta yang jelas, terang dan dapat membalas kembali hujahan pihak lawan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!