Peniaga burger sumbang hasil jualan untuk Tabung Palestin

Perkongsian Mohd Akmal menerusi Facebook mengenai kesungguhan Abdul Hadi yang menyumbang ke Tabung Palestin menggunakan hasil menjual burger.
Perkongsian Mohd Akmal menerusi Facebook mengenai kesungguhan Abdul Hadi yang menyumbang ke Tabung Palestin menggunakan hasil menjual burger.
A
A
A

LARUT - Walaupun hanya berniaga burger, ia tidak menghalang bagi seorang penduduk di sini menyumbang hasil pendapatan jualannya ke Tabung Palestin.

Langkah Abdul Hadi Yahya, 35, dari Kampung Sungai Terap, Selama di sini menyumbangkan RM4,900 menerusi hasil jualan burger yang dikumpul sejak tiga bulan lalu mendapat perhatian di media sosial.

Abdul Hadi berkata, sebahagian daripada wang itu adalah simpanannya yang turut mengambil upah sambilan melakukan kerja pendawaian elektrik dan membuat rumah, selain derma daripada kalangan ahli keluarga.

Menurutnya, meskipun negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil pendapatan menjual burger tidak pernah putus menyebabkan dia nekad untuk menyalurkan keuntungan yang diperoleh itu kepada rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

"Saya bersyukur kerana diberikan rezeki yang lapang. Melihat kepada penderitaan penduduk di Palestin membuatkan saya terpanggil untuk turut sama menyumbang.

"Membantu dari segi doa itu sudah menjadi kewajiban kita, tetapi jika kita mempunyai kemampuan yang lebih, tak ada salahnya untuk berkongsi rezeki dengan penduduk di sana, saudara Islam kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Bapa kepada sepasang cahaya mata berusia 13 dan 9 tahun itu berniaga burger di jalan utama Taman Nisa di sini sejak tahun 2007.

Katanya, hasil jualan burger itu digunakan bagi menyara kedua ibu bapa dan keluarganya sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Apabila saya nyatakan hasrat kepada emak saya untuk menyampaikan derma ini, dia sangat menyokong. Malah, dia nasihatkan saya supaya gunalah wang yang 'bersih' iaitu hasil titik peluh saya sendiri agar lebih berkat," katanya.

Sementara itu, sumbangan berkenaan telah disampaikan melalui Tabung Palestin Pas Kawasan Larut pada minggu lalu.

Usaha murni dilakukan Abdul Hadi itu dikongsi Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin di laman Facebook beliau pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!