Gesa gerakkan semua sumber awam, swasta percepat program vaksin
KUALA LUMPUR - Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menggesa kerajaan supaya menggerakkan kesemua sumber sektor awam dan swasta untuk mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan seterusnya mencapai keimunan kelompok lebih awal.
Ia menjelaskan lebih banyak sumber perlu disediakan selain melaksanakan penyumberan portfolio vaksin secara lebih giat agar vaksinasi dilakukan secara berkesan dan merealisasikan keimunan kelompok lebih cepat.
"Kami amat bimbang mengenai situasi pandemik yang bertambah buruk, ini bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat malah sumber dan sistem penjagaan kesihatan awam juga lelah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
ACCCIM juga menambah kadar vaksinasi yang perlahan dan jangkitan meluas dalam komuniti selain wujud sebilangan besar pembawa virus tanpa gelaja mengakibatkan ramai rentan kepada virus tersebut.
ACCCIM turut menyarankan kerajaan mempertingkatkan saringan besar-besaran serta pengasingan di samping memperhebat pengesanan kontak.
"Kementerian Kesihatan perlu menggunakan strategi pengesanan yang lebih agresif, dengan bantuan pengamal perubatan am swasta dan pengambilan kakitangan tambahan dengan diselia oleh pegawai kesihatan awam dalam rangkaian pengesanan kontak,” jelasnya.
Dewan tersebut juga berpandangan penularan virus boleh dikekang menerusi saringan besar-besaran selain pengesanan dan pengasingan kontak rapat dalam tempoh 48 jam.
Selain itu, ACCCIM juga berharap bantuan bersasar selanjutnya boleh dipertimbangkan untuk menyokong sektor yang memerlukan interaksi bersemuka atau perjalanan yang telah terjejas teruk, termasuk golongan bekerja sendiri, perniagaan mikro, industri perkhidmatan seperti restoran serta peruncit.
Menurutnya, kerajaan boleh mempertimbangkan, antara lain, memperluas beberapa bantuan serta langkah bantuan kewangan seperti Program Subsidi Upah dan pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk kumpulan tertentu, pelancongan dan peruncitan, yang akan tamat pada Jun 2021.
ACCCIM berkata, begitu juga pengurangan cukai khas bagi memberikan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus ke atas premis perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS yang akan tamat pada Jun 2021.
Jelasnya, potongan atau rebat bil utiliti juga akan turut membantu.
"Perniagaan mikro, bekerja sendiri dan warga pekerja tidak formal yang dibayar upah harian atau mingguan perlu diberikan lebih banyak bantuan memandangkan langkah mengehadkan pergerakan orang ramai untuk membendung penularan virus akan lebih menjejaskan kumpulan rentan ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!