Israel tidak diiktiraf sebagai negara
SHAH ALAM - Israel tidak diiktiraf sebagai sebuah negara menurut undang-undang antarabangsa, kata Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir.
Menurutnya, ini kerana Israel tidak berjaya untuk memenuhi empat syarat yang ditetapkan Konvensyen Montevideo mengenai Hak dan Kewajipan Negara 1933.
Jelas Salawati, antara syarat yang tidak dipenuhi tersebut ialah tidak mempunyai sempadan negara mereka sendiri.
“Israel tidak ada menunjukkan sempadan negara. Semua orang mesti ada sempadan negara untuk diiktiraf sebagai negara.
“Bagaimana nak iktiraf sedangkan satu daripada empat syarat wajib dia tidak boleh buktikan,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Wacana Sinar siri ke-258 bertajuk 'Israel Negara Apartied?' yang disiarkan secara langsung di platform dalam talian Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri dan personaliti televisyen, Fedtri Yahya, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, Salawati berkata, penindasan di Palestin adalah disebabkan tidak ada kesatuan terhadap negara Islam yang berada di dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Jelas beliau, perjuangan yang dilakukan oleh dua atau tiga buah negara sukar untuk mendatangkan impak besar tanpa campur tangan negara besar.
“Yang lain hanya melihat dan merasakan Israel itu penting untuk dijaga kerana ada keistimewaan dan untuk kepentingan negara mereka. Palestin turut pasrah terhadap perkara ini sehingga tidak percaya dengan OIC,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!