Kelantan United jalani latihan secara maya
KELANTAN United menjalani latihan secara maya bagi memastikan semua pemain pasukan itu kekal cergas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Penolong Pengurus Kelantan United, Nik Khuzaimi Nudin berkata, pasukannya terpaksa memilih alternatif latihan secara dalam talian itu berikutan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) untuk latihan bersemuka.
Menurut beliau, latihan dalam talian berkenaan perlu dilakukan bagi menjaga kecergasan pemain serta tidak mahu pemain 'beku' kerana tidak menjalani sebarang latihan bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang masih panjang.
"MFL setakat ini belum memaklumkan SOP terkini, jadi kami kena teruskan latihan. Pihak kejurulatihan telah merangka beberapa program setelah bercuti 10 hari sempena Aidilfitri. Kita minta jurulatih kecergasan pantau melalui hantaran video agar setiap program yang dirangka telah dilaksanakan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Nik Khuzaimi berkata, sesi latihan yang telah bermula beberapa hari lepas akan membolehkan pihaknya memantau semula tahap kecergasan serta fizikal semua pemain seterusnya jurulatih kecergasan, Kamarul Dinis akan mengemas kini tahap pemain kepada pengurusan.
Kelantan United yang kini berada di tempat kelima pada saingan Liga Premier musim ini menyasarkan untuk bermain di Liga Super musim depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!