Sambut baik latihan secara 'camp base training'
KEBANYAKAN jurulatih dan pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), menyambut baik pengumuman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang hanya membenarkan sesi latihan pasukan dijalankan secara camp base training selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bagi ketua Jurulatih PJ City FC, P Maniam, pihaknya sedia mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), agar semua kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), mengadakan latihan secara camp base training.
Menurutnya, keputusan yang dibuat bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dilihat bersesuaian situasi semasa khususnya terhadap peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara pada hari ini.
Malah katanya, sebaik sahaja mendapat perkhabaran mengenai pengumuman berkenaan, pihak pengurusan skuad The Phoenix itu segera mencari hotel atau tempat penginapan yang bersesuaian dengan konsep camp base training berkenaan.
“Kami amat memahami syarat yang ditetapkan oleh MFL mengikut saranan MKN serta KKM kerana penularan kes Covid-19 yang kembali tinggi sejak kebelakangan ini.
“Jadi buat sementara waktu ini, kami akan membuat latihan secara atas talian bagi kekalkan kecergasan pemain sebelum kita boleh lakukan latihan secara fizikal sepenuhnya.
“Bagaimanapun, walaupun kaedah home based training tidak lagi digunapakai, pemain tetap melakukan latihan secara atas talian sambil menunggu perkembangan daripada pihak pengurusan bagi menetapkan tempat penginapan yang sesuai untuk mereka kembali berlatih di venue latihan,” katanya.
MFL pada Rabu mengumumkan kelab Liga-M tidak lagi dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training sepanjang PKP dilaksanakan dan dikehendaki mematuhi camp base training sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengumuman mengenai perkara berkenaan diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan semalam dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Kapten Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Baddrol Bakhtiar pula menyifatkan ini bukan kali pertama mereka berdepan situasi sedemikian kerana pernah berlatih di Jitra ketika kawasan Kota Setar dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) September tahun lalu.
Justeru katanya, skuad Hijau Kuning itu bersedia untuk mengikuti kaedah camp base training ini kerana latihan secara fizikal dilihat penting kerana pemain bakal beraksi dalam saingan Piala AFC, pada Jun.
“Mungkin sekali lagi kami ke Jitra atau UUM (Universiti Utara Malaysia) di Sintok, namun semua keputusan di atas tangan pengurusan yang lebih tahu jalan terbaik.
“Selagi situasi penularan Covid-19 ini belum reda, pemain-pemain kena setiap masa bersiap sedia atas segala kemungkinan terhadap apa yang akan terjadi serta cuba mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, bagi kapten Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak berkata, pemain perlu sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama terbaik bagi mengikuti sesi latihan camp base training ini selain memastikan gelembung sukan tidak ‘bocor’.
“Bagi saya, sebenarnya apa sahaja yang terbaik untuk kita semua, kita kena ikut kerana kalau tidak, mungkin kita akan rosakkan gelembung sukan yang ada ini sekali gus menjejaskan saingan Liga Malaysia.
“Sebagai pemain, kita memang ingin terus beraksi, jadi SOP terbaik yang ada ini adalah untuk kebaikan semua pihak juga agar liga akan terus berjalan dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!