Briged Al-Qassam: Dari batu ke peluru
[DIKEMAS KINI] [INFOGRAFIK] Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam bukan sahaja berani berperang menentang rejim Israel, malah mereka juga cenderung membangunkan senjata berat sendiri yang terdiri daripada roket amnya.
Perkara tersebut telah didedahkan sendiri oleh pasukan tentera berkenaan kepada Al Jazeera pada 2020.
Usaha mereka membangunkan senjata secara ‘bawah tanah itu’ itu telah disiarkan oleh stesen televisyen berkenaan menerusi dokumentari bertajuk 'What hidden is greater'.
Dokumentari berkenaan telah menunjukkan bagaimana proses membangunkan senjata dilakukan oleh anggota tentera berkenaan di beberapa lokasi tersembunyi sekitar Gaza.
Menariknya, Briged Al-Qassam hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula untuk menghasilkan roket yang selama ini dilancarkan ke rejim Israel.
Sebahagian besar bahan-bahan tersebut terdiri daripada roket rejim Israel yang tidak meletup ketika tenteranya mengganas di bumi Palestin.
Di samping itu, roket milik Al-Qassam juga dihasilkan daripada berpandu kapal perang milik tentera laut Britain iaitu HMS M-15 dan HMS Staunch yang tenggelam pada 1917 akibat ditembak oleh kapal selam milik Jerman iaitu U-Boat UC-38.
Malah, mereka juga menggunakan paip keluli yang ditinggalkan oleh penjajah haram Israel untuk mencuri air pada 2005 di Gaza sebagai bahan membuat roket.
Usaha Briged Al-Qassam itu saling tidak tumpah seperti apa yang dilakukan oleh tentera Vietkong di Chu Chi Tunnel, Saigon, Vitenam ketika menentang Amerika Syarikat (AS) pada 1968.
Tentera yang dikepalai oleh Jeneral Vo Nguyen Giap itu telah membangunkan senjata berat berupa roket dan bom daripada roket AS yang tidak meletup bagi membalas serangan, sekali gus mempertahankan tanah air mereka.
Pembangunan senjata secara ‘bawah tanah’ oleh Briged Al-Qassam dipercayai bermula sekitar 1990.
Menurut pereka senjata dan peluru Mesir, Marawan M dalam silahreport.com, pada mulanya tentera Hamas itu hanya menggunakan senjata api lama yang diubah suai dan ditambah baik.
Bagaimanapun katanya, pada tahun 1992, bekas komander Briged Al-Qassan, Abu Khaled telah menghasilkan pistol buatan sendiri, Gold-Star hasil replikasi pistol Jerman, Walther PP dan PPK.
Sejak itu, pasukan tentera berkenaan tekun menghasilkan pelbagai senjata lain siang dan malam menggunakan kepakaran yang terhad.
Susulan itu, maka terhasil pelbagai jenis senjata berat lain yang digunakan oleh Briged Al-Qassam untuk mempertahankan bumi Palestin daripada terus dijarah peneroka haram rejim Israel.
Siapa sangka, pejuang rakyat Palestin itu yang dulunya mempertahankan diri dengan menggunakan batu dan bom petrol kini memiliki senjata berat bagi memberi tentangan terhadap keganasan rejim Israel.
Walaupun tahap kemusnahan senjata dihasilkan tidak sama dengan roket rejim Israel, namun kesan psikologinya tetap sama, menggerunkan musuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!