Radikalisme dan politik perkauman
PROFESOR Donald Horowitz, seorang pakar konflik antara kaum sedunia mengkaji Malaysia sejak zaman parti Perikatan.
Daripada pengamatan beliau tentang politik Malaysia, beliau membuat satu kesimpulan yang mendalam: “Dalam persekitaran yang berlaku konflik antara kaum, cuma ada ruang untuk satu parti atau gabungan pelbagai kaum sahaja. Setelah sebuah parti sebegitu rupa bertapak, maka semua peluang pilihan raya wujud di penghujung-penghujung kaum (ethnic flanks).”
Izinkan saya terjemahkan dalam bahasa harian – apabila sesebuah parti atau gabungan dapat memonopoli politik sederhana, maka pesaingnya terpaksa menjadi radikal.
Kerana UMNO, MCA dan MIC sebagai parti pemerintah bersikap tolak ansur atas isu-isu kaum, maka mereka dikecam oleh pesaing sebagai pengkhianat kaum dan agama masing-masing.
UMNO dikutuk Pas dan MCA dikutuk DAP. Kutukan kepada UMNO dan MCA hanya reda apabila Pas dan DAP juga berpakat untuk menggantikan BN menjadi kerajaan.
Dengan munculnya parti serpihan UMNO – Semangat 46 (1989-1996) dan PKR (sejak 1998) – yang memimpin barisan pembangkang serta memberi harapan menjadi kerajaan, Pas pun kurang memperjuangkan negara Islam, manakala DAP pula kurang mengkritik Dasar Ekonomi Baru, sampailah UMNO dan MCA pula yang mengutuk mereka sebagai munafik.
Intinya, perbezaan pendirian antara parti-parti lebih kerap didorong oleh keperluan untuk membezakan jenama diri daripada jenama pesaing dan daripada perbezaan ideologi.
Hanya dengan kelainan jenama, barulah peniaga dapat memupuk kesetiaan pelanggan dan parti dapat memupuk kewalaan pengundi.
Kerana kurang sedar fakta itu, ramai yang rasa tertipu apabila parti sokongan mereka menjadi sederhana apabila menyertai kerajaan dan ramai pula yang merungut bahawa rakyat sebenarnya semua baik-baik belaka dan orang-orang politik yang memecahkan rakyat.
Kadang-kala, orang sama yang marahkan parti disokongnya telah meninggalkan perjuangan asal dan marahkan orang politik memupuk kebencian antara rakyat.
Jika doa kita boleh ditunaikan, apa yang kita harus doakan untuk demok-rasi? Semua parti lawan tegas sesama lain dengan kuat berprinsip? Atau semua parti sentiasa sanggup mencapai kompromi seolah-olah nampak munafik?
Jenama
Saya akan mendoakan parti-parti menegakkan jenama masing-masing dengan dasar-dasar yang berlainan tetapi sedia membuat kompromi yang perlu dan munasabah.
Hanya apabila parti-parti dapat menawarkan penyelesaian yang lain, pengundi baru ada pilihan.
Dan hanya apabila parti-parti sanggup berkompromi, demokrasi tidak akan terbakar api sampai jadi abu.
Berlainan daripada prinsip yang bersifat mutlak, dasar lebih anjal untuk mempermuda kompromi tanpa kelihatan macam munafik tegar.
Kalau Parti A yang propasaran inginkan kadar cukai rendah lima peratus, manakala Parti B yang prorakyat miskin inginkan kadar cukai tinggi 10 peratus, kedua-dua boleh membentuk kerajaan atas kadar cukai 7.5 peratus.
Kembali kepada politik kaum, kalau parti-parti pemerintah yang sederhana tidak ingin diserang oleh pembangkang sebagai pengkhianat kaum dan agama, maka satu-satu caranya adalah memberi ruang untuk pembangkang bersaing atas perbezaan tidak berunsurkan kaum.
Jika parti pemerintah beria-ia fikirkan dirinya boleh meminggirkan, malah menghapuskan pembangkang, ia hanya akan dibalas dengan pembangkang yang radikal.
Perhitungan sempit itu di pihak UMNO telah membangunkan Pas sebagai pesaing utamanya pada era pra-1MDB.
Sungguhpun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi sedikit ruang untuk pembangkang, pimpinan tertinggi giat ingin memecahkan dan menelan UMNO tetapi akhirnya sendiri yang tumbang.
Masuk hutan cari cengal,
Untuk dijual di Batu Pahat.
Kalau tak nak pesaing radikal,
Berilah ruang bersaing sihat.
* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!