Jangan dekati 'Mamat'- Perhilitan
KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu meminta orang ramai tidak mendekati buaya tembaga yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, reptilia yang digelar penduduk setempat sebagai ‘Mamat’ itu merupakan haiwan ganas dan ia dikhuatiri akan menyerang manusia sekiranya berasa terancam.
“Tindakan penduduk mendekati buaya tembaga itu pada jarak sangat hampir adalah sangat berbahaya.
"Walaupun Mamat dikatakan jinak ketika masih kecil, namun sifat pemangsa sebagai buaya tetap ada apatah lagi saiznya kini dilihat semakin membesar boleh mengundang bahaya," katanya pada Jumaat.
Menurut Abdul Malek, Perhilitan ada menerima aduan mengenai kemunculan semula ‘Mamat’ dan pihaknya akan memasang perangkap untuk memindahkan haiwan tersebut dalam masa terdekat.
*
Sinar Harian pada Khamis melaporkan saiz seekor buaya tembaga digelar Mamat yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus dikatakan semakin membesar.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook, Anuar Ngah pada Rabu, dia mengatakan saiz reptilia yang dianggarkan berusia enam tahun itu kini dipercayai mencecah 5.79 meter.
Sebelum ini, pada 2019 kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal itu.
Saiz Mamat pada waktu itu bertambah besar malah reptilia yang dianggarkan berusia lima tahun ketika itu dikatakan membesar hampir tiga meter.
Kisah Mamat sebelum ini pernah tular pada 2016 ketika reptilia pemangsa itu sebesar satu meter ketika ditemui penduduk kampung di kawasan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Besarnya 'Mamat'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!