PKP penuh: MKN perlu buat pertimbangan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti beberapa pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau 'lockdown'.
Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu adalah berikutan terdapat kelompok masyarakat bersetuju dengan pelaksanaan tersebut dan ada juga yang tertekan disebabkan oleh beberapa faktor.
Disebabkan itu, beliau berkata, sebarang keputusan perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek-aspek berkaitan.
"Hari ini (Jumaat), MKN akan buat bermesyuarat berhubung pelaksanaan PKP penuh ini, cumanya Selangor minta beberapa pertimbangan daripada pihak terlibat," katanya menerusi satu rakaman live Facebook, pada Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis memaklumkan kerajaan akan membincangkan cadangan PKP penuh di seluruh negara pada mesyuarat MKN Covid-19 di Putrajaya, pada Jumaat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi sidang media pada Rabu turut berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan PKP penuh namun ia perlu dilihat secara holistik mengambil kira beberapa aspek seperti kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemberian vaksin di Selangor, Siti Mariah mengakui proses suntikan di Selangor agak perlahan dan hanya mencecah 3.3 peratus sehingga 17 Mei lalu.
"Ini adalah disebabkan beberapa perkara antaranya jumlah populasi penduduk yang tinggi di negeri ini mencecah sehingga 6.7 juta rakyat.
"Memang kerajaan negeri juga mohon agar lebih banyak vaksin diberi buat Selangor kerana rakyat kita ramai berbanding negeri lain," katanya.
Tambah Siti Mariah, proses pengagihan vaksin juga adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!