Konduktor ganti pemandu kereta api laju kerana pergi ke tandas
TOKYO - Seorang konduktor menjadi pemandu sementara sebuah kereta api laju di Jepun baru-baru ini kerana pemandunya yang sebenar terpaksa pergi ke tandas kerana sakit perut, kata Perbadanan Kereta Api Pusat Jepun pada Khamis.
Pemandu pengangkutan awam yang berumur 36 tahun itu pergi ke tandas selama kira-kira tiga minit selepas meminta konduktor tersebut yang tidak mempunyai lesen memandu kereta api mengambil alih tempatnya pada kira-kira jam 8.15 pagi pada Ahad lalu.
Ketika itu, kereta api tersebut bergerak antara stesen Atami dan stesen Mishima sejauh lebih 13 kilometer (km).
Pemandu tersebut mengaku dia sakit perut dan perlu pergi ke tandas ketika pengangkutan awam itu yang bergerak selaju 150 km sejam serta membawa 160 penumpang.
Pergerakan kereta api laju dikawal oleh sistem komputer berpusat tetapi pemandu dikehendaki berada di kokpit pemanduan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka, kata seorang jurucakap AFP.
Para pemandu pengangkutan awam itu juga perlu melakukan tugas membrek secara manual atau melajukan kereta api serta bergerak mengikut jadual bagi memastikan keselamatan para penumpang.
Ketiadaan pemandu itu di kokpit pemanduan menyebabkan kereta api tersebut lewat tiba selama seminit sehingga menyebabkan perbuatannya diketahui oleh pegawainya yang lebih tinggi.
Dalam satu sidang akhbar pada Khamis, seorang eksekutif di perbadanan itu meminta maaf berhubung kejadian tersebut dan berkata, ketiadaan pemandu kereta api berkenaan di kokpit pemanduan adalah satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan.
Pemandu itu menjelaskan, dia tidak mahu menyebabkan kelewatan dengan menghentikan pergerakan kereta api laju tersebut dan berkata: "Saya tidak melaporkan perkara itu (sakit perut) kerana malu."
Namun, pihak perbadanan kereta api itu menimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas pemandu dan konduktor tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!