Mohon takaful CuepacsCare, CuepacsPA secara online
PUTRAJAYA - Pusat Khidmat Pemasaran MyCuepacsCare (MyCuepacsCare) melancarkan sistem permohonan secara online Program Takaful Penjawat Awam CuepacsCare dan CuepacsPA bagi memudahkan kakitangan kerajaan menyertai program perlindungan takaful tersebut.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, sistem yang dilancar pada awal Januari dan boleh diakses melalui www.cuepacscare.my itu memudahkan penjawat awam memohon borang lengkap bagi menyertai kedua-dua program takaful tersebut.
Beliau berkata, MyCuepacsCare telah menerima lebih 2,000 permohonan daripada penjawat awam daripada sistem online berkenaan bagi menyertai program takaful yang diasaskan CUEPACS dengan kerjasama Medicare Assistance Sdn. Bhd. pada 1999 sebagai usaha menjaga kebajikan.
"Permintaan penjawat awam untuk menyertai program takaful yang diilhamkan CUEPACS ini amat tinggi. Tetapi mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk bertemu dengan wakil pemasaran atau hadir ke pejabat Medicare bagi mengambil borang disebabkan kekangan kerja.
"Setelah selesai memohon secara online, MyCuepacsCare akan menghantar borang lengkap kepada penjawat awam melalui perkhidmatan pos untuk diisi mereka. Diharapkan ia dapat membantu para penjawat awam untuk menyertai CuepacsCare dan CuepacsPA," katanya.
Menurut Azih, program takaful berkenaan dilancarkan sebagai alternatif kepada penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pada kadar mampu selain menyediakan perlindungan untuk sebarang kemalangan yang tidak dijangka.
Jelas Azih, melalui inisiatif itu penjawat awam ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 sebulan melalui CuepacsCare, manakala RM6 sebulan bagi takaful kemalangan diri CuepacsPA yang memberi perlindungan sehingga RM220,000.
"CUEPACS sedar kesedaran rakyat Malaysia secara keseluruhan untuk mendapatkan perlindungan takaful atau insurans masih lagi rendah. Kita berharap usaha MyCuepacsCare mempromosikan program takaful ini dapat meningkatkan kesedaran kepeningan memiliki perlindungan tambahan selaras hasrat Bank Negara.
"Sehingga kini lebih 500,000 penjawat awam telah mendapat manfaat daripada CuepacsCare dan CuepacsPA. Hasrat CUEPACS adalah mahu penjawat awam di negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful untuk keluarga mereka," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!